KUALA LUMPUR – Tidak timbul isu Bersatu menjadi ‘abang besar’ dengan menguasai keputusan dalam menentukan calon mewakili Perikatan Nasional (PN) apabila menghadapi mana-mana pilihan raya kecil (PRK).
Bercakap kepada Scoop, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, sebaliknya keputusan muktamad bagi penentuan calon diputuskan Majlis Tertinggi PN.
“Tiada apa pun (masalah), masing-masing (parti komponen PN) pasti nak letak calon masing-masing. Kita tak ada ‘abang besar’ (dalam PN) boleh cadang parti mana nak bertanding, calon mana nak bertanding.
“Cuma yang membuat keputusan muktamad adalah Majlis Tertinggi PN, yang di dalamnya ada semua kepemimpinan parti gabungan PN,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah yang membayangkan parti itu akan meletakkan calonnya untuk mewakili PN khususnya di Kelantan jika kerusi Parlimen Gua Musang, Jeli serta Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri sah dikosongkan untuk memberi laluan kepada PRK.
Langkah ini adalah susulan krisis enam Ahli Parlimen dan seorang Adun menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Razali berkata, perancangan itu bagaimanapun tertakluk kepada proses rundingan dan perbincangan bersama rakan komponen utama dalam PN iaitu Bersatu.
Mengambil contoh PRK Kuala Kubu Baharu, bulan lalu, Razali berkata, kerusi asal di kawasan itu adalah milik Gerakan.
“Tapi apabila diteliti, kalau nak lawan betul-betul di situ kena calon Melayu, lepas bincang jadi diputuskan calon Bersatu (bertanding) dan ini semua kepimpinan dalam PN setuju.
“Jadi yang lain (jika ada PRK seterusnya) begitu juga caranya pemilihannya, bab kalah menang itu nombor dua, maknanya di sini kita kompromi, berbincang dan meneliti untuk pastikan calon yang kita letak itu berpadanan, bukan calon yang ‘tangkap muat,” katanya.
Tambah beliau, pemilihan calon mewakili PN bagi menghadapi kemungkinan PRK seterusnya selepas ini akan menjalani tapisan lebih ketat.
“Lagi pun sekarang ini kita kena pilih elok-elok calon, bukan calon untuk menang sahaja, untuk ketahanan mental kena fikir juga.
“Kerana kita ini pembangkang, jadi untuk letak calon terbaik, kita bukan tengok luaran sahaja dalaman pun perlu kerana kebiasaan PRK ini menjadi tumpuan, jadi pelru sentiasa bersedia berhadapan provokasi lawan,” katanya. – 1 Jun, 2024