KUALA LUMPUR – Laporan penuh nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, Perak bulan lalu, mengesahkan semua kru berada dalam penerbangan itu mempunyai tahap kesihatan baik untuk mengendalikan pesawat udara berkenaan.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, tahap kelayakan penerbangan kru udara itu juga masih sah atau tidak tamat tempoh.
Katanya, laporan autopsi mengesahkan bahawa tiada isu hypoglycemia atau unsur ‘fatigue’, iaitu keletihan terhadap semua kru udara serta tiada penggunaan bahan terlarang.
“Tiada unsur mental illness (masalah mental) direkodkan atau dikenal pasti. Semua kru udara terlibat disahkan secara perubatan sebagai fit to fly (sihat untuk penerbangan).
“Keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan.
“Kematian semua 10 mangsa berpunca daripada pelbagai kecederaan akibat nahas penerbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman laporan penuh nahas terbabit di sini, hari ini. – 30 Mei, 2024
BERITA LANJUT MENYUSUL