PUTRAJAYA – Kerajaan melantik syarikat usaha sama (JV) untuk meneruskan operasi Menara KL selama 20 tahun, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, pemilihan syarikat usaha sama antara LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd dibuat selepas lima pembida tempatan mengemukakan cadangan.
“Daripada lima syarikat berkenaan, ada satu syarikat yang dipilih oleh UKAS (Unit Kerjasama Awam Swasta) dan kerajaan, iaitu LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd. Mereka melakukan usahasama.
“Syarikat berkenaan didapati menepati syarat-syarat dan tiada apa-apa isu selepas semua saringan dari segi integriti dilakukan.
“Proses seterusnya ialah mengeluarkan surat (pelantikan) dan Jemaah Menteri memaklumkan konsesi ini selama 20 tahun,’’ kata Fahmi, yang juga jurucakap kerajaan pada sidang media di pejabatnya, hari ini. – 29 Mei, 2024