Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Pecah 650 hektar rizab Melayu kepada bukan Melayu: Pengarah urusan syarikat hartanah direman | Scoop

Pecah 650 hektar rizab Melayu kepada bukan Melayu: Pengarah urusan syarikat hartanah direman

Siasatan SPRM mendapati sejumlah 317 lot telah dipecahkan kepada individu serta syarikat, yang sebahagian besarnya adalah bukan Melayu

1:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah direman empat hari sehingga 31 Mei ini bagi membantu siasatan kes pemecahan lot membabitkan kira-kira 650 hektar tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu di Mukim Sitiawan, daerah Manjung, Perak.

Perkara itu disahkan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Scoop hari ini.

Menurut beliau, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus di Mahkamah Majistret Ipoh dengan suspek yang berusia 44 tahun itu dipercayai terbabit melakukan pemecahan lot tanah di mukim berkenaan menjadi tanah bukan Melayu, seterusnya dijual menjadi lot rumah dan banglo.

Terdahulu sumber memberitahu, siasatan SPRM mendapati sejumlah 317 lot telah dipecahkan kepada individu serta syarikat, yang sebahagian besarnya adalah bukan Melayu.

Penahanan itu adalah rentetan kepada tangkapan seorang bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak yang sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, bulan lalu.

SPRM ketika ini sedang menyiasat kejadian jenayah yang berlaku beberapa tahun lalu, membabitkan ahli keluarga suspek yang sudah meninggal dunia.

Sumber berkata, siasatan mendapati syarikat itu disyaki membayar rasuah kepada kakitangan kerajaan untuk mengubah tanah rizab Melayu kepada bukan Melayu di Sitiawan.

Hishamuddin berkata, penahanan suspek dilakukan mengikut Akta SPRM 2009 kerana memberi rasuah.

Media sebelum ini melaporkan, seorang bekas Timbalan Pendaftar Hak Milik PTG Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan menipu status Tanah Rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu.

Tertuduh Rosli Che Mohamed, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menipu Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak iaitu dengan memperdaya Lembaga tersebut untuk mempercayai bahawa tanah No. Hak Milik PN 174770-174772, No Lot PT 17527-17529, Mukim Sitiawan, Manjung Perak adalah bukan Tanah Rizab Melayu melalui Borang Pembetulan Data Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak bertarikh 25 Mac 2011.

Disebabkan perbuatan itu ia telah mendorong Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak untuk meluluskan Permohonan Pecah Sempadan Tanah bagi Hakmilik PN 174772, Lot 17527 kepada 317 Plot seluas kira- kira 649.2 hektar Mukim Sitiawan, Daerah Manjung kepada Nadi Agrobusiness Sdn Bhd yang mana Lembaga tersebut tidak akan berbuat demikian sekiranya ia mengetahui perkara tersebut adalah tidak benar. – 28 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Related