KUALA LUMPUR — Cef selebriti popular, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan menegaskan komennya terhadap penampilan aktres, Aishwarya Rai ketika bintang Bollywood itu hadir acara karpet merah pada Festival Filem Cannes 2024, 15 Mei lalu, bukan berniat mahu memburukkan atau menghina agama Hindu.
Malah beliau mengingatkan mereka yang mengkritiknya susulan komen itu supaya memahami maksud kapsyen dalam klip video akaun Instagram @namastebollywood.in yang bertanyakan ‘first thought that goes to mind’ (perkara pertama terlintas di fikiran) mengenai busana dikenakan Aishwarya Rai itu.
Beliau juga menegaskan tiada niat untuk bersikap perkauman melalui komen berkenaan dan ramai yang memberikan komen penampilan bintang ternama itu seperti seekor burung merak.
“Dalam otak saya mengaitkan material yang digunakan pereka fesyen untuk Aishwarya Rai itu, saya sering melihatnya pada upacara keagamaan di Batu Caves.
“Ini kerana ramai juga yang komen macam burung merak maka fikiran saya mengaitkannya dengan Thaipusam, memang banyak kavadi dibawa menggunakan bulu burung merak. Bulu burung merak itu cantik.
“Oleh kerana kapsyen pada klip video itu meminta pengikut mengenai perkara pertama terlintas di fikiran dan saya memberikan komen tersebut. Maaflah tiada niat untuk saya bersikap perkauman atau menghina agama lain,” katanya dalam kenyataan di akaun Instagram miliknya.
Chef Wan berkata, berdosa jika ada yang menuduhnya bersikap sedemikian sedangkan niat di hati hanyalah mengaitkan pemakaian Aishwarya Rai terhadap sambutan perayaan Thaipusam yang begitu popular dalam negara.
“Jujurnya hanya itu niat saya, tiada niat mengejeknya, pakaian itu sangat besar dan seperti burung merak. Tidak pernah ada niat komen itu berbentuk perkauman atau memburukkan agama Hindu kerana selaku cef selebriti, saya sentiasa menghormati budaya dan agama lain.
“Untuk itu saya mengambil peluang ini memohon maaf kepada semua yang berasakan saya telah menghina agama mereka, saya minta maaf.
“Saya juga meminta maaf kepada Aishwarya Rai jika dia juga terasa hati dengan komen itu,” katanya.
Chef Wan berkata, menjadi seorang selebriti ternama, mereka seharusnya bersedia untuk menerima kritikan khususnya ketika menggayakan fesyen dalam acara karpet merah.
“Dan sebagai selebriti pun, saya selalu guna seluar pendek, macam-macam orang kutuk dan maki hamun saya. Malah apa yang saya komen secara berjenaka dan jujur pun disalah tafsir dan disalah faham, saya telan sahaja maki hamun mereka.
“Sehinggakan ada yang membuat laporan polis dan tuduh saya macam-macam pun saya sabar dan telan sahaja, berani buat berani tanggung,” katanya.
Baru-baru ini Scoop melaporkan, Chef Wan, 65, berdepan kritikan susulan komennya terhadap aktres Aishwarya Rai apabila beliau mengaitkan penampilan bintang Bollywood berkenaan dengan kavadi, yang dibawa semasa Thaipusam.
“Dia membawa kavadi sendiri menuju ke perayaan Thaipusam Batu Cave,’’ demikian tulis Chef Wan di dalam Instagram Namaste Bollywood yang memaparkan klip video Aishwarya ketika menghadiri acara karpet merah pada Festival Filem Cannes 2024 pada 15 Mei lalu.
Dalam acara karpet merah itu, Aishwarya mengenakan gaun ala burung merak bewarna biru dan kelabu yang bergemerlapan. Penampilan aktres berusia 50 tahun itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. – 28 Mei, 2024