Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Ada banyak nama calon Speaker Dewan Negara tapi masih diteliti: PM | Scoop

Ada banyak nama calon Speaker Dewan Negara tapi masih diteliti: PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada banyak nama telah dikemukakan tetapi setakat ini senarai tersebut belum dibincangkan

9:54 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui, banyak nama dikemukakan untuk mengisi kekosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Negara susulan kematian penyandangnya, Datuk Mutang Tagal pada 10 Mei lalu.

Perdana Menteri berkata, bagaimanapun setakat ini, senarai nama itu belum dibincangkan.

“Speaker (Yang Dipertua Dewan Negara) belum lagi. Memang ada nama dikemukakan.

“Ada ramai nama dikemukakan (calon), tetapi kita masih dalam perbincangan awal,” katanya kepada pemberita selepas pertemuannya dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Kuching, petang tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Pada pertemuan itu, Anwar berkata, turut dibincangkan keputusan kerajaan Sarawak untuk menggunakan bahasa Inggeris di sekolah.

“Dari segi dasar itu tidak bercanggah asalkan bahasa Melayu masih kekal (sebagai bahasa utama).

“Penambahan itu penting dan saya berpandangan untuk Malaysia melonjak ke depan penguasaan bahasa Melayu harus mantap dan pada masa yang sama penguasaan bahasa Inggeris juga harus ditingkatkan,” katanya.

Terdahulu, Anwar merasmikan kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 bertema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ yang dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara iaitu Kemboja, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina, Brunei, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Kuwait serta Perancis.

Hawana 2024 adalah perhimpunan terbesar wartawan Malaysia anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) adalah agensi pelaksana. – 27 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Related