SHAH ALAM – Pemahaman dan pelaksanaan agama yang didorong oleh emosi akan melahirkan sikap melampau, ekstrim atau ghuluw (taasub) justeru kehidupan terbaik adalah berlandaskan agama.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jiwa juga harus dibaja dengan memperbanyakkan zikir dan selawat supaya lahir ilmuan yang merendah hati, bukan mendabik dada dengan pengetahuannya.
“Menadah kitab, mengaji dan meneliti sememangnya teramat penting. Namun tidak kurang penting juga kegiatan rohaniah justeru sepanjang festival kali ini kita menyusun banyak sesi bacaan wirid, ratib dan zikir.
“Beberapa majlis pengajian misalnya, kita dahulukan dengan sesi nazam dan qasidah. Kita yakin bahawa selain otak perlu diasah dengan pengajian, jiwa juga harus dibaja dan dipupuk dengan memperbanyakkan zikir dan selawat,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Turath Islami Selangor yang diadakan mula hari ini sehingga 2 Jun di Masjid Salahuddin Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Festival Turath Islami disertai lebih daripada 1,000 pengunjung, termasuk dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura, dan Brunei.
Ia diserikan dengan kehadiran bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Ali Jum’ah yang membacakan kitab, Hadis 40, dan juga Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid.
Menyentuh mengenai festival berkenaan, Amirudin berkata ia lebih besar berbanding sebelumnya.
“Majlis ini akan dijalan selama 8 hari dan juga terdapat pelbagai aktiviti dan program, tidak macam dulu hanya tumpu kepada pengisihan kelas.
“Jumlah sesi yang diadakan kali ini juga hampir tiga kali ganda lebih banyak. Kali ini, kita menyusun acara yang lebih pelbagai dan kita cuba menyeimbangkan antara acara ilmiah dengan acara rohaniah,’’ katanya. – 26 Mei, 2024