KUALA LUMPUR — Pelantikan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) sebagai salah satu syarikat pengendali perkhidmatan projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) Selangor Mobolity telah diluluskan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) pada 22 Disember 2022.
Ia bagi penyertaan Asia Mobiliti dalam proses pengujian Proof of Concept (POC) perkhidmatan Bus On Demand manakala penyertaan Badan Bas Coach Sdn Bhd (Badan Bas) diluluskan pada 24 Februari tahun lalu.
Perkara itu dijelaskan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han sebagai maklum balas kepada isu yang tular di media sosial mengenai pelantikan Asia Mobiliti yang didakwa ada kaitan dengan suami kepada seorang menteri.
Menurut Sze Han, Asia Mobiliti dan Badan Bas telah dijemput untuk membuat pembentangan kepada Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT untuk pertimbangan bagi pelantikan sebagai syarikat pengendali perkhidmatan berdasarkan kelulusan APAD dan pengalaman dalam melaksanakan POC pada peringkat syarikat masing-masing.
“Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT mengambil pendekatan bersetuju melantik kedua-kedua syarikat ini kerana kelulusan yang diberikan oleh APAD pada waktu itu. Hal demikian kerana pentadbiran ini ingin menepati piawaian yang ditetapkan pihak berwajib demi memastikan keselamatan pengguna perkhidmatan DRT adalah terjamin.
“Susulan kepada itu, Letter of Intent (LoI) telah dikemukakan kepada syarikat pengendali perkhidmatan pada 15 Jun 2023 manakala surat pelantikan dikeluarkan pada 20 September 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT telah menetapkan zon pengoperasian perkhidmatan DRT Selangor Mobility agar tertumpu di kawasan padat yang menghubungkan pengangkutan awam utama seperti LRT, MRT dan KTM Komuter serta laluan sempit yang tidak boleh dilalui bas.
Katanya, sepanjang tempoh percubaan fasa pertama Projek Rintis DRT, kedua-dua syarikat telah mula beroperasi menggunakan empat van di lapan zon di Selangor, iaitu Ampang, Hulu Kelang, Puchong dan UPM-Serdang (Asia Mobiliti) dan Badan Bas pula mengendalikannya di Subang Jaya, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan dan Sungai Buloh.
Sze Han berkata, selain kos pemasaran, promosi, teknologi, pengurusan dan pemantauan, peruntukan daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk Projek Rintis DRT turut digunakan bagi menampung sebahagian daripada tambang pengguna perkhiamatan DRT di Selangor, iaitu pengguna dapat menikmati perkhidmatan DRT ini dengan kadar tetap hanya RM2 bagi setiap perjalanan.
Terdahulu, akaun Aduan Rakyat di laman X mempersoal mengenai pelantikan Asia Mobiliti dalam projek DRT di Selangor dan mendakwa syarikat itu dimiliki suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Aduan Rakyat turut mempersoal sama ada pelantikan syarikat itu dilakukan sebagai tender terbuka. – 24 Mei, 2024