Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Sarjan Faridah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung | Scoop

Sarjan Faridah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung

Pengesahan itu dibuat berdasarkan keputusan bedah siasat dikeluarkan pihak Hospital Hammoud, Saida, Lubnan pada 20 Mei lalu

5:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kematian Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) 850 Siri 11 (850-11), Sarjan Faridah Abd Rahman baru-baru ini, disahkan akibat serangan jantung.

Menerusi kenyataan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pengesahan itu dibuat berdasarkan keputusan bedah siasat dikeluarkan pihak Hospital Hammoud, Saida, Lubnan pada 20 Mei lalu, selepas proses terbabit dijalankan sehari sebelumnya.

Katanya, pihak MALBATT 850-11 dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Beirut sudah menyelesaikan segala urusan berkaitan proses dokumentasi dengan pihak berkuasa Lubnan serta Misi United Nations Interim Force in Lebanon (Unifil).

“Proses dokumentasi itu dilakukan bagi membawa pulang jenazah Allahyarhamah ke tanah air menggunakan pesawat komersil pada 23 Mei 2024, jam 12.05 waktu Lubnan atau 5.05 petang waktu Malaysia.

“Jenazah dijadualkan tiba ke tanah air pada 24 Mei 2024, jam 9.50 malam waktu Malaysia,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, solat ienazah Allahyarham Faridah akan dilaksanakan di Pangkalan Udara Subang dan diberikan penghormatan.

Ujarnya, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Pendang, Kedah menggunakan pesawat angkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 25 Mei 2024 jam 7.00 pagi.

Jenazah, katanya, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al-Anwar, Kampung Tengah, Mukim Tualang, Pokok Sena, Kedah.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, Faridah yang mengikuti misi Unifil dan bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam Malbatt 850-11 di Kem Marakah, Lubnan, dilaporkan meninggal dunia pada awal pagi 18 Mei lalu.

Menurut Markas ATM, Allahyarhamah disahkan meninggal dunia pada jam 2.25 pagi waktu tempatan atau 7.25 pagi waktu Malaysia.

“Allahyarhamah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Malbatt 850-11 apabila beliau rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah.

“Allahyarhamah pada ketika itu baru pulang ke Lubnan setelah selesai bercuti di Malaysia,” menurut kenyataan. – 23 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Related