Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
SPRM dakwa 23 anggota, pegawai Kastam sekongkol sindiket penyeludupan pengimportan | Scoop

SPRM dakwa 23 anggota, pegawai Kastam sekongkol sindiket penyeludupan pengimportan

Siasatan mendapati, tindakan bersekongkol itu mengakibatkan ketirisan dan kerugian berbilion ringgit kepada negara

5:29 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa 23 anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di enam Mahkamah Sesyen berasingan di seluruh negara hingga 6 Jun ini, atas kesalahan bersekongkol dengan sindiket sehingga mengakibatkan ketirisan dan kerugian kepada negara.

Menurut SPRM, hasil siasatan mendapati mereka bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup.

“Semua mereka akan didakwa di bawah kesalahan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ujarnya, semua individu terbabit ditahan menerusi Op Samba 2.0 dilaksanakan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), SPRM bermula 11 Mac lalu, sekali gus berjaya mengesan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion.

Terdahulu, SPRM memaklumkan, operasi berakhir 25 Mac lalu itu menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai JKDM yang bertugas di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, operasi dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) itu, mendapati wujud ketirisan yang menyebabkan kerugian hasil negara amat besar.

“Ketirisan ini memberi impak negatif berterusan kepada ekonomi sekiranya tidak dibendung.

“Dalam operasi ini, SPRM menahan 34 anggota dan pegawai dari gred 19 hingga 44 bersama 27 individu serta pemilik syarikat dan hasil siasatan mendapati, mereka bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup.

“Berikutan penahanan individu terbabit, Bahagian AML, SPRM merampas telefon bimbit, komputer riba dan lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.

Malah, kenyataan SPRM memaklumkan, pihaknya membekukan 231 akaun bank milik individu, syarikat dan ‘akaun keldai’ berjumlah kira-kira RM18 juta yang terbabit dengan kegiatan sindiket penyeludupan berkenaan.

“Setakat ini dua pegawai kastam sudah dituduh di mahkamah di bawah kesalahan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan,” katanya. – 23 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Related