KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, esok.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang Selangor berkata, beliau telah menerima satu notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah pada 7 Mei lalu.
Katanya, ia susulan kenyataannya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Mac lalu yang mendedahkan mengenai dakwaan penyelewengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Tindakan mengeluarkan notis berkenaan secara jelas melanggar perundangan dan ia adalah cubaan bagi menakutkan saya dalam menunaikan tanggungjawab sebagai Adun dan Ketua Pembangkang.
“Susulan itu, saya sudah arahkan peguam untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap tindakan atau keputusan pihak polis mengeluarkan notis berkenaan,’’ katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azmin berkata tindakan mengeluarkan notis berkenaan secara jelas melanggar perundangan dan ia adalah cubaan menakutkannya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Adun dan Ketua Pembangkang. – 21 Mei, 2024