KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan golongan B80, iaitu merangkumi mereka dalam kumpulan B40 dan M40 diutamakan dalam penyaluran bantuan serta subsidi secara bersasar yang akan dilaksanakan kelak.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan juga memberi jaminan masalah keciciran bagi penerima bantuan yang layak dapat diatasi menerusi pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (Padu).
“Prinsipnya bagi kerajaan ini adalah for the many not the few (untuk golongan yang ramai bukan sedikit). Maksudnya kita perlu bawa keadilan kepada kumpulan yang mendambakan keadilan itu, berlaku adil kepada semua pihak, dari segi ekonomi maksudnya T20 sudah mampu.
“Kenapa saya kata B80, kita tengok contohnya dalam isu bil elektrik, kita berhenti beri subsidi kepada kumpulan T15 atau T20, tapi B80 inilah yang kita fokuskan.
“Jadi prinsip kerajaan ialah jangan risau, T20 atau mahakaya are doing ok (dalam keadaan okay). Untuk B80, kerajaan bagi jaminan, kami akan jaga, kita akan menjaga semua rakyat yang memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai tetamu jemputan untuk segmen podcast PodaBoom oleh Scoop, baru-baru ini.
Ia dihoskan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zainul Arifin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (Rocky).
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, data berkait B80 diperoleh susulan pelaksanaan sistem Padu yang menjadi ‘game changer’ dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.
“Pada 2019 saya berjumpa dengan pasukan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) di Lembah Pantai. Hasil interaksi mereka maklumkan bila turun padang, keluarga yang patut dapat sekian bantuan, tidak dapat, tapi Perkeso tidak ada punca kuasa untuk dapatkan bantuan dan menyelaras data itu.
“Tapi bila Kabinet putuskan dan kita laksana sistem Padu, ini pertama kali dalam sejarah negara, lebih 300 agensi, jabatan yang ada data berkaitan bantuan kepada rakyat dikumpulkan.
“Menerusi maklumat itu kita dah nampak ada sejumlah orang atau ketua isi rumah yang sepatutnya layak untuk terima bantuan, (tapi) tak pernah dapat sebab kesilapan tertentu, seperti tidak tahu isi borang dan tidak mendapatkan cop pengesahan,” katanya.
Ditanya mengenai kritikan berterusan terhadap sistem Padu, beliau berkata, ia tidak lebih kepada serangan berbentuk politik terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
“Kalau kita tengok, sistem keselamatan siber bagi sistem Padu ini dijaga oleh pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Kalau selama ini DOSM sudah berupaya jaga keselamatan data di bawah dia, bagi saya tidak ada isu, malah setiap data didaftarkan di Padu adalah ‘encrypted’ (sulit),” katanya.
Sebelum ini, seramai 17.65 juta atau 58.7% rakyat sudah mengemaskini maklumat dalam Padu selepas pendaftaran untuk sistem itu berakhir pada 31 Mac lalu. – 21 Mei, 2024