KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dalam proses mengumpul fakta dan bukti bagi diteliti oleh peguam sebelum memfailkan petisyen pilihan raya terhadap keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu.
Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagi tujuan itu sebanyak 16 Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) parti tersebut sudah diarah mengumpul fakta dan bukti.
“Arahan telah diberikan oleh Pengerusi PN kepada peguam-peguam untuk kumpulkan semua fakta dan bukti-bukti yang dapat kita kutip di lapangan untuk disemak terlebih dahulu sebelum kemukakan permohonan petisyen PRK KKB.
“Sebaik selesai PRK, arahan sudah dikeluarkan dan sekarang saya dimaklumkan semua ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi seramai 16 orang sudah memulakan pengumpulan fakta dan bukti-bukti untuk diteliti oleh peguam.
“Dan kita akan pilih mana-mana kes yang lebih berat untuk dikemukakan sebagai petisyen itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ditanya sama ada terdapat tempoh tertentu untuk memfailkannya, Azmin berkata, ia bergantung kepada keupayaan parti mengumpul maklumat tepat sebelum permohonan rasmi petisyen pilihan raya dapat dikemukakan.
Ketika kempen PRK Kuala Kubu Baharu berlangsung, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi amaran PN akan memfailkan petisyen pilihan raya jika Pakatan Harapan (PH) menang PRK terbabit.
Beliau mendakwa memiliki banyak bukti secara video dan catatan mengenai penyaluran dan penyalahgunaan jentera kerajaan yang disifatkan sebagai rasuah pilihan raya.
Pada PRK KKB, 11 Mei lalu, Pang Sock Tao dari PH menang dengan majoriti 3,869 undi, menewaskan tiga pencabarnya, iaitu Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Sock Tao yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memperoleh 14,000 undi, sekali gus mempertahankan kerusi itu yang dimenangi DAP sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). – 20 Mei, 2024