KUALA LUMPUR – Cadangan menukar gelaran Ketua Menteri kepada Premier, sebagaimana dilakukan Sarawak, perlulah dilihat dari sudut Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963.
Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, cadangan itu juga harus memperincikan kesan bakal dialami sekiranya pertukaran berkenaan dilaksanakan.
Menurutnya, mengubah gelaran kepada Premier atau Perdana Menteri sekalipun, tidak akan mengubah sifat autonomi Sabah yang tersurat dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“Dalam Bahagian III Perkara 5 Perjanjian Malaysia 1963 yang dipersetujui bersama wakil-wakil dari Sabah menyebut, ‘Ketua Menteri dan Menteri Besar’ kedua-dua bermaksud sebagai Presiden dengan apa juga gaya diketahui, Majlis Eksekutif di sesebuah Negeri (khususnya ‘Ketua Menteri’, termasuk Perdana Menteri di Singapura.
“Perkara ini dimasukkan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi, ‘Ketua Menteri’ dan ‘Menteri Besar’ kedua-duanya bererti Yang Dipertua, tidak kira dengan gelaran apa jua dia dikenali, Majlis Mesyuarat Kerajaan di dalam sesuatu Negeri,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diingatkan mengenai implikasi terhadap proses pematuhan MA63 jika kerajaan negeri, mengubah Perlembagaan sewenang-wenangnya ketika Sabah sedang berunding berhubung interpretasi Perkara 112D berkaitan pemberian khas 40 peratus.
“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu bersama-sama patuh dan hormat MA63 serta Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa,” katanya.
Bung Moktar berkata, sekiranya pihak berkenaan ingin mendapatkan pengiktirafan sebagai ‘rakan kongsi’, lebih baik meminta agar takrifan ‘Gabenor’ yang dipotong Akta A354, Seksyen 41 pada 1976, dikembalikan.
Menurutnya, takrifan asal dipotong itu adalah ‘Gabenor’ bermaksud Ketua Negeri, tidak kira dengan gelaran apa jua digunakan di sesuatu negeri tidak mempunyai Raja (dan khususnya termasuk, Yang di-Pertua Negara Sabah serta Yang di-Pertuan Negara Singapura).
Justeru, Bung Moktar berkata, Sabah tidak perlu meniru apa dilakukan negeri jirannya, Sarawak kerana itu mencerminkan, kepimpinan negeri Di Bawah Bayu berkenaan, tandus dengan idea dan identiti.
“Kerajaan lemah dalam mengenalpasti prioriti untuk membangun negeri ini dan memastikan hak Sabah dalam perjanjian, terus terpulihara,” katanya.
Kenyataan Bung Moktar itu dipercayai sebagai respons kepada cadangan Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah Tanjong Kapor, Ben Chong Chen Bin berkata, Sabah tidak boleh terus merujuk Ketua Eksekutifnya sebagai Ketua Menteri apabila Sarawak sudah mengambil langkah menamakan semula jawatan itu sebagai Premier.
Ujarnya, langkah itu diambil Sarawak bagi mencerminkan sewajarnya kedudukan negeri yang dikembalikan pada 2022, sebagai satu daripada tiga rakan kongsi sama rata ketika pembentukan Malaysia pada 1963.
Chen Bin berkata, beliau berharap rang undang-undang (RUU) berhubung perkara itu dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Julai depan.
Perkara itu, katanya, selaras RUU bagi menggantikan gelaran Pembantu Menteri kepada Timbalan Menteri, selain mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal. – 18 Mei, 2024