KUALA LUMPUR – Kegiatan kumpulan militan, Jemaah Islamiyah (JI) di Malaysia adalah terkawal setakat ini.
Penegasan dan jaminan itu diberikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Sidang media itu diadakan susulan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram yang mengakibatkan dua anggota terkorban, manakala seorang cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Buat masa sekarang terkawal,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai situasi gerakan terbabit di negara ini, sama ada serius atau sebaliknya.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan keamanan dan ketenteraman awam diutamakan.
Saifuddin sebelum ini menegaskan PDRM akan menyiasat insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram secara menyeluruh.
“PDRM sedang dan akan mengambil semua langkah dalam menyiasat kejadian ini.
“Keamanan dan ketenteraman awam keutamaan kami. Mohon doa dari semua,” katanya. – 18 Mei, 2024