KUALA LUMPUR — Tujuh individu termasuk seorang warga Singapura direman seminggu bermula hari ini hingga 24 Mei, bagi membantu siasatan kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, semalam.
Perintah reman terhadap semua suspek yang berusia antara 19 hingga 62 tahun itu, dikeluarkan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.
Reman itu bagi membolehkan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semua suspek, kecuali warga Singapura diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan termasuk peguam Bustaman Menon Abdul Hamid Menon, Sulaiman Zamani dan Muhammad Zahier Rosli.
Mereka direman itu membabitkan lima ahli keluarga suspek dan dua penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan.
Negara dikejutkan dengan kejadian dua anggota polis maut, manakala seorang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi semalam.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain pada sidang media, selepas beliau mengadakan lawatan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, insiden pada kira-kira jam 2.30 pagi itu, membabitkan suspek yang bertopeng serta bersenjatakan pistol dan parang, sebelum turut mati ditembak.
Dua anggota terkorban yang meninggal dunia di tempat kejadian berkenaan adalah Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar yang bertugas di pejabat pertanyaan dan Allahyarham Muhamad Syafiq Ahmad Said, iaitu anggota prowler di balai polis berkenaan.
Ahmad Azza Fahmi ditetak di belakang leher dan kepala, manakala Muhamad Syafiq ditembak di perut dan lengan.
Mangsa cedera adalah anggota Unit Cegah Jenayah (RCJ), Koperal Mohd Hasif Roslan yang kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HIS), Johor akibat ditetak di bahu serta pinggul kiri dan dilaporkan stabil.
Lebih mengejutkan, Razarudin berkata, suspek dalam kejadian serangan di balai polis berkenaan disahkan anggota organisasi pengganas antarabangsa, Jemaah Islamiyah (JI).
Katanya, menerusi siasatan awal, bapa suspek yang berusia 62 tahun juga adalah ahli kumpulan pengganas terbabit.
Van jenazah membawa dua anggota itu dilaporkan keluar dari Jabatan Perubatan Forensik HSI pada jam 9.15 pagi ini dan tiba di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor kira-kira 15 minit kemudian untuk disembahyang, sebelum dibawa ke kampung halaman masing-masing. – 18 Mei, 2024