KUALA LUMPUR – Seorang pembantu penyelia kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan atlet kayak negara, Siti Nurul Masyitah Md Elias, Sabtu lalu.
Tertuduh, R Dhinesh, 31, didakwa memandu kereta Toyota Vios dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 178 miligram/100 milimeter, melebihi had ditetapkan iaitu 128 miligram/100 milimeter.
Dhinesh didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di Johor Bahru pada jam 4.19 petang pada 11 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1a) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama akta berkenaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 dengan lesen memandu dibatalkan dan hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu maksimum tujuh tahun daripada tarikh sabitan, selain lesen memandu percubaan dibatalkan, jika ada.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik, S Vikineswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dikenakan ke atas tertuduh.
“Lesen memandu tertuduh juga dimohon untuk digantung sehingga kes selesai selain perlu melapor diri di Balai Polis Skudai sebulan sekali,” katanya.
Tertuduh kemudian merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana gajinya sebagai pembantu penyelia kilang tidak sampai RM2,000 sebulan.
Majistret Nur Fatin Mohamad Farid kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin, lesen memandunya digantung hingga kes selesai selain perlu melapor diri di Balai Polis Skudai sebulan sekali.
Majistret turut menetapkan sebutan semula pada 24 Jun depan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.
Semalam, Siti Nurul Masyitah, 22, dilaporkan cedera parah apabila retak bahu kanan, tulang pingggul dan luka di bahagian kaki akibat terbabit kemalangan tersebut.
Mangsa kini dilaporkan masih dirawat di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri, Johor Bahru manakala tertuduh tidak mengalami sebarang kecederaan. – 16 Mei, 2024