Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
PRK KKB: Data IDE tak pelik, bukti cita rasa anak muda bersifat ‘menentang’ | Scoop

PRK KKB: Data IDE tak pelik, bukti cita rasa anak muda bersifat ‘menentang’

Trend sama juga dilihat ketika PH menjadi pembangkang sebelum memenangi PRU14 pada 2018

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengundi berusia 40 tahun ke bawah mengundi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) kerana anak muda lebih cenderung menyokong parti yang menjadi blok pembangkang.

Bercakap kepada Scoop, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Azmi Hassan berkata, anak muda lebih melihat corak politik semasa negara dan trend sama itu dapat dilihat ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang sebelum memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Malah, beliau menolak dakwaan PN berjaya menambat hati pengundi muda disebabkan kebijaksanaan parti itu dalam menggunakan platform media sosial.

Prof Azmi Hassan menolak dakwaan PN berjaya menambat hati pengundi muda disebabkan kebijaksanaan parti itu dalam menggunakan platform media sosial – Gambar Bernama, 15 Mei, 2024

“Ini bukan disebabkan masalah PH tak bijak guna media sosial atau PN bijak (guna media sosial). Tapi data PRK KKB menunjukkan cita rasa (anak muda) yang bersifat menentang… berani membuat keputusan yang orang veteran tidak akan buat.

“Jadi, data itu tak pelik. Hakikatnya, kalau kita perhatikan keputusan PRU-14, anak muda memilih PH yang menjadi pembangkang ketika itu.

“Begitu juga pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mereka (anak muda) memilih PN yang juga parti pembangkang. Jadi, ia membuktikan cita rasa anak muda lebih berjiwa pembangkang,” katanya.

Semalam, kajian Institut Darul Ehsan (IDE) mendedahkan PN masih menjadi pilihan pengundi muda yang berumur kategori 40 tahun ke bawah.

Pengurus Kanan Penyelidikan IDE, Khairul Arifin Mohd Munir berkata, PN memperolehi 63 peratus daripada undi mereka berusia antara 18 hingga 24 tahun walaupun peratusan keluar mengundi kelompok itu terendah iaitu sekitar 53 peratus.

Menurut Azmi, anak muda memang berjiwa menentang. Ini terbukti dengan data PRU14 di mana anak muda memilih PH yang ketika itu menjadi pembangkang dan pada PRU15 pula, anak muda memilih PN – Alif Omar/Scoop, 15 Mei, 2024

Susulan itu, Azmi berkata, PH perlu memikirkan strategi berkesan bagi mendapatkan kembali sokongan pengundi muda dengan meneroka platform media sosial untuk berkomunikasi dengan kumpulan tersebut.

“Ada sesetengah menteri dalam PH mereka menganggap media sosial itu tak penting kerana kata ada kerja lebih penting perlu dilakukan. Jadi mereka tak guna peluang itu untuk menyampaikan sesuatu maklumat kepada rakyat dalam bahasa mudah.

“Apabila sesuatu dasar dibuat, mereka laksanakan. Tak dinafikan dasar itu memang baik tapi tidak diterangkan dengan jelas. Jadi itu masalahnya sekarang iaitu komunikasi dengan rakyat tak sampai,” katanya.

Penganalisis keselamatan dan politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, sudah tiba masanya PH perlu meremajakan strategi kempen politik mereka dengan menerapkan politik berasaskan hiburan untuk menguasai pemikiran anak muda.

Katanya, penggunaan media sosial amat penting kerana setiap generasi akan memberi corak pengundian dan corak politik yang berbeza.

Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, sudah tiba masanya PH perlu meremajakan strategi kempen politik mereka dengan menerapkan politik berasaskan hiburan untuk menguasai pemikiran anak muda – Gambar UiTM, 15 Mei, 2024

“Keupayaan untuk menguasai pemikiran generasi muda bergantung kepada fast-paced (langkah segera) dan politik berasaskan hiburan dengan salah satu bentuk perang saraf yang lebih mewujudkan satu sentimen emosi dan penyampaian fakta secara lebih santai.

“Elemen berbentuk politik hiburan boleh menaikkan semangat dan keterujaan golongan muda. Jadi (sokongan itu) bergantung bagaimana proses perang saraf komunikasi strategik itu berlaku dalam medium digunakan gabungan parti politik,” katanya.

Sementara itu, Noor Nirwandy berkata, faktor penurunan peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi muda pada PRK KKB juga disebabkan majoritinya tidak teruja untuk turun mengundi.

“Dalam konteks PRK KKB, ia hanya melibatkan satu daripada 56 kerusi yang dipertandingkan di peringkat negeri. Sudah tentu ia tidak mempunyai sentimen daya tarikan kepada orang muda untuk mengundi.

“Malah PRK KKB tidak mencerminkan elemen yang boleh membawa pengundi melihat ia perkara yang sensasi, memerlukan penglibatan mereka kerana keadaan faktor suasana politik negara yang tidak lagi memberikan satu impak kepada generasi muda,” katanya.

Noor Nirwandy turut berkata, faktor penurunan peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi muda pada PRK KKB juga disebabkan majoritinya tidak teruja untuk turun mengundi – Alif Omar/Scoop, 15 Mei, 2024

Dalam pada itu, beliau berkata, pengundi berusia 41 tahun memilih calon PH untuk mempertahankan kerusi KKB disebabkan amalan budaya politik matang, stabil dan inklusif gabungan parti berkenaan.

“Mereka lebih melihat kepada kepada kebergantungan ekosistem politik dan kestabilan negara itu dicapai dalam suasana yang lebih bersifat inklusif.

“Ini satu perkara yang perlu dipadankan oleh mana-mana parti politik di negara ini untuk mengimbangi keterujaan kedua-dua kumpulan tersebut.

“Walaupun dikatakan wujud perbezaan undi bagi kumpulan 40 tahun ke bawah dan 41 tahun ke atas, tapi asasnya adalah membina negara melalui Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya.

Pada PRK KKB Sabtu lalu, calon PH, Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi, menewaskan tiga pencabarnya, iaitu Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, itu memperoleh 14,000 undi, sekali gus mempertahankan kerusi itu yang dimenangi DAP sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). – 15 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Related