KUALA LUMPUR – Seorang gadis, Hanusyadevi Muniandy, 19, dilaporkan hilang apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar ke tempat kerja di Pulau Indah, Klang sejak petang semalam.
Kenyataan di Facebook Balai Polis Pandamaran memaklumkan, Hanusyadevi dikatakan keluar ke tempat kerja dari kediamannya di Pangsapuri Taman Permai Indah pada jam 3.30 petang.
Menurutnya, susulan kehilangan gadis itu, bapanya membuat laporan polis di Balai Polis Pandamaran.
“Mohon kerjasama dari orang ramai yang melihat dan menjumpai remaja perempuan bernama Hanusyadevi Muniandy, berumur 19 tahun yang dilaporkan keluar dari rumah di Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran pada 11 Mei 2024, jam kira-kiRa 3.30 petang untuk ke tempat kerja (sebuah syarikat penghantaran barang) di Pulau Indah.
“Namun, dia tidak pulang ke rumah hingga kini.
“Pengadu, bapa kepada penama (mangsa) sudah membuat laporan di Balai Polis Pandamaran,” katanya.
Menerusi kenyataan sama, orang ramai diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Amiza di talian 019-2318805 atau 03-33762398 sekiranya mempunyai sebarang maklumat atau mengetahui di mana mangsa berada,” katanya. – 12 Mei, 2024