Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kemenangan Sock Tao bukti Kerajaan Perpaduan dapat sokongan ampuh pengundi pelbagai kaum: MB Selangor | Scoop

Kemenangan Sock Tao bukti Kerajaan Perpaduan dapat sokongan ampuh pengundi pelbagai kaum: MB Selangor

Undi pengundi Melayu juga meningkat, sekali gus membuktikan mereka lebih yakin dengan Kerajaan Perpaduan

10:17 PM MYT

 

KUALA KUBU BAHARU – Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu menunjukkan Kerajaan Perpaduan masih lagi mendapat sokongan yang kukuh dan ampuh daripada pengundi pelbagai kaum.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kemenangan itu juga satu isyarat yang boleh dianggap pungutan suara rakyat yang mahu Kerajaan Perpaduan kekal di Selangor dan meneruskan pentadbiran di Putrajaya.

“Kita mendapat peningkatan di beberapa undi Melayu yang menunjukkan Melayu lebih yakin dengan Kerajaan Perpaduan.

“Kita memenangi undi awal, sebahagian besar adalah penjawat awam, yang menyatakan sokongan dan keyakinan kepada kerajaan Perpaduan

“Kerajaan Perpaduan masih lagi mendapat sokongan yang kukuh dan ampuh daripada pengundi pelbagai kaum termasuk masyarakat Orang Asli yang memberi undi sangat signifikan dalam PRK ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas kemenangan Sock Tao, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata, peratusan undi diterima calon PH itu meningkat tiga peratus kepada 57% berbanding pilihan raya negeri lepas iaitu sebanyak 54%.

“Beberapa pencapaian yang sangat membanggakan termasuk berjaya rampas beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM), undi awal dan undi pos yang sebelum ini dimenangi lawan.

“(Sebelum ini) juga kita tewas di Kerling, Sungai Air Jernih dan Pertak, dua daripadanya iaitu Sungai Air Jernih dan Pertak merupakan kawasan majoriti Melayu, Islam dan Bumiputera.

“Kita juga melihat pengurangan majoriti yang dicatatkan walaupun PN masih menguasai Bandar Utama Batang Kali, apabila majoriti mereka menyusut sekitar 1,700 undi (sebelum ini) kepada 1,300 undi sahaja.

“Jadi saya percaya ini satu signal dan juga kalau mereka anggap pungutan suara, ini pungutan suara endorsement kepada kerajaan Perpaduan di Selangor dan Putrajaya,” katanya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) bersama barisan kepimpinan Pakatan Harapan Ketika meraikan kemenangan Pang Sock Tao (empat, kiri) pada PRK Kuala Kubu Baharu, hari ini. – Azim Rahman/Scoop, 11 Mei, 2024

Selain itu beliau juga berharap Sock Tao dapat meneruskan kerja baik yang dimulakan mendiang Lee Kee Hiong selama ini.

“Harap Pang dapat perbaiki kelemahan yang mungkin ada dan pertingkat perkhidmatan dari masa ke semasa serta dapat meneruskan legasi kemenangan PH pada pilihan raya akan datang.

“Justeru bagi pihak pengerusi PH dan Menteri Besar, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada parti dan jentera yang bekerja keras memastikan kemenangan ini,’’ katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang memberi amaran bahawa gabungan berkenaan, akan memfailkan petisyen jika PH memenangi PRK Kuala Kubu Baharu, Amirudin secara sinis berkata itu petanda PN telah menyedari mereka sudah tewas pada PRK ini.

“Tiga hari sebelum pilihan raya berlangsung, mereka seolah-olah sudah mengaku kalah dengan mengatakan ingin menghantar petisyen.

“Tapi kita yakin kita telah menjalankan kempen yang berkesan, bersasar, berhemah tanpa perlu caci maki atau tabur fitnah sepanjang pilihan raya ini berbeza kempen PN yang menimbulkan kekeliruan dalam banyak perkara.

“Jadi itu hak masing-masing, tapi apa yang disebut Takiyuddin itu itu adalah petanda mereka sudah menyedari akan tewas dalam PRK ini,” katanya.

Ditanya pengurangan peratusan keluar mengundi, beliau berkata itu perkara biasa dalam PRK. – 11 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Related