KUALA KUBU BAHARU – Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari kononnya tindakan berkongsi pentas Pakatan Harapan (PH) malam tadi tidak bertentangan perlembagaan Bersatu, disifatkan sebagai kenyataan peribadinya.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor itu bebas membuat tafsiran sendiri, namun parti berkenaan memiliki pakar yang akan menilai tindakannya berpandukan perlembagaan dan peraturan sedia ada.
Beliau turut menyifatkan tindakan Abdul Rashid itu tidak mempamerkan sokongan kepada Bersatu apabila berkongsi pentas bersama parti lawan.
“Itu (kenyataan Abdul Rashid) dia kata, dia boleh kata apa-apa sahaja. Kita ada pakar dan perlembagaan Bersatu. Nyata perbuatannya duduk sepentas berucap untuk menentang kita, sokong kita lagi? (Cuba) fikir, logik tak?
“Tak mengapa, kita ada peraturan dan sudah diumum oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin (Setiausaha Agung Bersatu). Bila dia buat begitu, kalau ikut perlembagaan terhenti serta-merta keahlian.
“Dah nampak betulkan (Abdul Rashid berceramah di pentas PH)? Takkan anda okey kalau anda jadi ketua parti? Tak boleh, kita ada peraturan. Sebab itu, apa pun tindakan akan dibuat berdasarkan peraturan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ceramah Umum PN bersama Masyarakat India di Bandar Utama Batang Kali di sini, hari ini.
Terdahulu, Abdul Rashid dilihat turun padang menyokong kempen Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, malam tadi.
Beliau yang ditemui media menjelaskan keputusan membantu kempen calon PH dibuat selepas mempertimbangkan tiada sebarang peruntukan dalam perlembagaan Bersatu yang menghalangnya berbuat demikian.
Susulan itu, Hamzah berkata, Bersatu akan menghantar surat secara serentak kepada enam Ahli Parlimennya yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dan seorang Adun berkait status keahlian mereka.
Katanya, surat tersebut akan dihantar selepas ia disahkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang akan diadakan minggu depan selepas tamatnya PRK Kuala Kubu Baharu. – 9 Mei, 2024