KUALA LUMPUR – “Ayah pernah cakap, apa-apa biar dia pergi dulu, tetapi sekarang anak dia yang pergi dahulu,” luah adik mangsa pokok tumbang di ibu kota semalam, Shahrizal Atan.
Menurut Shahrizal, abangnya Allahyarham Md Rizal, 47, pergi sekelip mata dan sebelum ini tidak mempunyai apa-apa penyakit.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hopital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Md Rizal meninggal dunia selepas ditimpa sebatang pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berhampiran Hotel Concorde, dekat sini semalam.
Dalam kejadian itu, dua lagi mengalami kecederaan dan turut menjejaskan landasan Monorel KL berhampiran hotel itu.
Ia mengakibatkan empat stesen Monorel iaitu Bukit Nanas, Raja Chulan, Bukit Bintang dan Imbi ditutup sementara untuk kerja pembersihan serta baik pulih.
Mengulas lanjut, Shahrizal berkata, pokok-pokok perlu diselenggara dengan baik, bukan menunggu terjadi insiden seumpama itu.
“Patutnya (pokok-pokok) diselenggara dengan baik, bukan selepas terjadi (kematian). Benda ini melibatkan nyawa,’’ katanya.
Sementara itu, proses bedah siasat ke atas jenazah Md Rizal selesai dijalankan di HKL.
Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Shah Alam. – 8 Mei, 2024