KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini membenarkan pelepasan pasport sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu melawat anggota keluarganya yang sakit di Australia.
Keputusan dibuat oleh Hakim Azura Alwi yang membenarkan permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik.
Sementara Timbalan Pendakwaraya Nor Asma Ahmad juga tidak membantah perkata itu.
Muhyiddin, 76, dibenarkan menggunakan pasport mulai hari ini sehingga 28 Mei bagi melawat keluarga yang menjalani rawatan kanser di negara tersebut.
Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri dan presiden Bersatu ketika itu telah didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd dan Datuk Azman Yusoff untuk pihak berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin turut menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun Bank CIMB Bersatu.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Bank CIMB Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 dan antara 8 Feb dan 8 Julai 2022.
Permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan kebenaran menyemak semula keputusan Mahkamah Rayuan pada 28 Februari untuk mengembalikan semula pertuduhan akan didengar oleh panel lima hakim Mahkamah Rayuan pada 9 Julai. – 8 Mei, 2024