KUALA LUMPUR – Pasukan Johor Darul Takzim (JDT) telah meningkatkan lagi keselamatan pemainnya susulan kereta pemain tengah pasukan itu, Safiq Rahim dipecah individu tidak dikenali menggunakan tukul besi di Jalan Sri Gelam, Johor Bahru, malam tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards, berkata, pihaknya juga menasihatkan pemain pasukan berkenaan untuk berhati-hati dengan persekitaran dan hantaran-hantaran mereka di media sosial pada setiap masa.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bimbang dengan insiden yang melibatkan Safiq Rahim di mana kereta beliau telah diserang berhampiran Pusat Latihan JDT malam tadi.
“Kami menggesa Polis Di Raja Malaysia menyiasat perkara ini dengan segera.
“Insiden itu, bersama dengan serangan ke atas Akhyar Rashid dan Faisal Halim baru-baru ini, tidak mempunyai tempat dalam dunia bola sepak,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Johor Darul Ta'zim FC (JDT) are concerned of the incident involving Safiq Rahim where his car was attacked near the JDT Training Centre tonight.
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) May 7, 2024
We urge the Royal Malaysian Police to investigate the matter urgently.
The incident, together with the recent attacks on Akhyar… pic.twitter.com/GCkfn36JYR
Malam tadi kereta pemain tengah pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim dipecah individu tidak dikenali menggunakan tukul besi di Jalan Sri Gelam, Johor Bahru.
Menurut laporan polis yang dibuat Safiq di Balai Polis Larkin, insiden berlaku pada 10.05 malam ketika beliau memandu kereta Honda City dari Pusat Latihan JDT Sri Gelam menghala ke Pantai Lido.
Menurut Safiq, beliau telah didatangi sebuah motosikal yang ditunggang dua lelaki tidak dikenali dan pemboncengnya bertindak mengeluarkan tukul besi sebelum mengetuk bahagian belakang cermin kereta.
“Saya yang terkejut memberhentikan kereta… kedua-dua lelaki terbabit berhenti di hadapan kereta sambil menunjukkan tukul dan saya mengundurkan kereta kerana ketakutan.
“Kedua-dua lelaki tersebut meninggalkan tempat kejadian tidak lama kemudian, akibat kejadian ini cermin belakang kereta saya telah pecah,” katanya dalam laporan polis yang dibuatnya selepas insiden itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata siasatan sedang dijalankan dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Polis sedang mengesan dan menangkap suspek terbabit. Kenyataan akan dikeluarkan selepas siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan ringkas tengah malam ini.
Insiden itu berlaku tiga hari selepas Faisal Halim disimbah asid dan seorang lagi pemain, Akhyar Rashid pula disamun dan diserang, di kawasan kediamannya lebih kurang seminggu lalu. – 8 Mei, 2024