KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha Mustafa mengambil pendekatan kunci mulut mengenai kewujudkan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman di rumah.
Sebaliknya, beliau meminta semua pihak agar merujuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu, baru-baru ini.
“Dah ada from (dari) Datuk Seri (Anwar), you just follow (anda hanya ikut) apa yang Datuk Seri dah sebut itu. Nothing more from me (tiada apa dari saya),” katanya ketika ditemui pada majlis Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Putrajaya di Putrajaya, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Terdahulu, Anwar ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Shah Alam pada 21 April lalu menegaskan, sebarang keputusan berhubung Titah Adendum tersebut mesti diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Katanya, beliau tidak mahu mencampuri urusan berkenaan, biarpun ditohmah dan dilempar dengan pelbagai kritikan kononnya tidak berbuat apa-apa.
Pada 1 April lalu, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 agar beliau menjalani hukuman penjara di rumah.
Susulan itu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit selaku ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.
Menerusi afidavit diikrarkan Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pertemuan di rumah Presiden Umno berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu. – 3 Mei, 2024