KUALA KUBU BAHARU – Kehadiran pemimpin dan jentera Barisan Nasional (BN) terutama MIC membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu membuktikan ‘cakap-cakap’ kononnya perpecahan berlaku antara parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak benar.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, solidariti itu jelas menunjukkan matlamat utama adalah memastikan calon daripada Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan dan memenangi PRK ini.
“Kita dapat menyaksikan sendiri bagaimana kesepaduan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan ini.
“Sesetengah pihak mendakwa kerajaan ini kononnya berpecah, orang ini tidak mahu tolong dan orang itu tidak mahu tolong antara satu sama lain.
“Malam ini terbukti semua kalangan (kepimpinan parti kerajaan) dalam konteks pengundi masyarakat India di KKB ini berkumpul.
“Kerana bagi kita, matlamat kita ialah untuk memastikan calon daripada Kerajaan Perpaduan menang dalam pilihan raya ini,” katanya kepada media selepas berucap pada Malam Perpaduan Sempena Hari Pekerja 2024 di sini malam tadi.
Turut hadir Pengerusi Dap, Lim Guan Eng; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Sebelum ini bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy menerusi partinya Urimai, menggesa pengundi Kuala Kubu Baharu (KKB) menolak calon PH.
Ditanya mengenai tindakan berterusan pihak lawan yang cuba mempengaruhi dan menghasut pengundi, Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, ia adalah perkara biasa dalam kempen.
“Dalam proses demokrasi masing-masing akan memberikan pandangan mereka tetapi saya percaya masyarakat India di mana sahaja khususnya dalam konteks KKB ini, mereka begitu matang.
“Mereka mahu memilih sebuah kerajaan yang dapat berfungsi serta memberikan perkhidmatan terbaik dan kerajaan itu adalah Kerajaan Perpaduan,’’ katanya sambil memaklumkan kempen calon kerajaan menunjukkan momentum positif selepas hampir seminggu berkempen. – 3 Mei, 2024