Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kebakaran kilang cat: Operasi pemadaman masih diteruskan lebih 8 jam | Scoop

Kebakaran kilang cat: Operasi pemadaman masih diteruskan lebih 8 jam

Sekolah Kebangsaan Meru dan Sekolah Rendah Agama II yang terletak berhampiran kilang ditutup kerana asap kebakaran dikhuatiri menyebarkan bahan kimia

3:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses cat di Taman Perindustrian Meru, Klang masih diteruskan walaupun sudah lebih lapan jam dimulakan.

Menurut Penguasa Kanan Bomba Zon Kapar, Mohd Yunus Ibrahim, setakat jam 2.20 petang tadi, api berjaya dipadamkan 95% dan situasinya terkawal.

Katanya, kebakaran itu membabitkan dua blok bangunan di kilang yang sama.

“Kami menerima laporan pada jam 6.34 pagi dan operasi pemadaman bermula pada jam 6.36 pagi.

“Kejadian tidak melibatkan sebarang kehilangan jiwa atau kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, Blok A musnah 100%, manakala Blok B mengalami kemusnahan 60%.

Ujarnya, seramai 45 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Bukit Jelutong, Andalas, Pelabuhan Klang, Shah Alam serta Rawang segera digegaskan ke lokasi.

Enam jentera bomba, tiga Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu unit jentera Aerial Ladder Platform (ALP) pula dihantar ke lokasi bagi membantu mengawal kebakaran.

Difahamkan, insiden terbabit menyebabkan dua sekolah di Meru, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Meru dan Sekolah Rendah Agama (SRA) II yang terletak berhampiran kilang berkenaan, ditutup.

Kawasan kedua-dua sekolah itu dipenuhi dengan asap kebakaran yang dikhuatiri menyebarkan bahan kimia daripada bahan cat di kilang berkenaan. – 29 April, 2024

Topics

 

Hangat

Related