KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa besar yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah pikap yang berhenti secara mengejut ketika cuba mengelak seorang wanita melintas jalan di Kilometer 98.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Satu, dekat susur keluar Lanchang, Pahang, semalam.
Ketika kejadian pada jam 4.18 petang itu, Mohd Haziq Ramli, 34, yang merupakan seorang pemuzik yang juga pempengaruh di TikTok, dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Polis Daerah Termerloh, Mazlan Hassan berkata, polis menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 4:45 petang semalam.
Mazlan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas seorang wanita berusia 35 tahun memberhentikan kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya di bahu jalan dan bertindak melintas lebuh raya terbabit.
“Pemandu pacuan empat roda terbabit membrek secara mengejut bagi mengelak daripada merempuh wanita itu namun pada masa sama, sebuah motosikal berkuasa besar dari arah belakang melanggar belakang kenderaan pacuan empat roda itu.
“Rempuhan itu mengakibatkan penunggang terjatuh di lorong kanan lebih raya dan motosikalnya tercampak ke bahagian belakang pacuan empat roda itu,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan, katanya mendapati kemalangan disebabkan kecuaian wanita terbabit yang melintas jalan dan susulan itu wanita itu dan penumpang SUV iaitu seorang lelaki warga berusia 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.
Dalam pada itu, klip video kemalangan itu yang menunjukkan bagaimana rempuhan berkenaan berlaku kini tular di media sosial.
Ia sekali gus mencetuskan kemarahan netizen yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak yang cuai hingga meragut nyawa penunggang motosikal tersebut.
Sementara itu, menerusi hantaran rakan-rakannya di media sosial, Allahyarham merupakan seorang pemain dan tutor dram serta sering berkongsi ilmu mengenainya di TikTok.
Malah ilmu yang dikongsi oleh Haziq dijadikan rujukan dan pemergiannya disifatkan sebagai kehilangan permata dalam industri muzik. – 27 April, 2024