KUALA LUMPUR – MCA kekal dengan pendirian untuk tidak membantu DAP sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu selepas pengumuman calon DAP akan mewakili Kerajaan Perpaduan.
Bercakap kepada Scoop, Ketua Wanita MCA, Wong You Fong berkata, ia adalah keputusan secara konsensus kepemimpinan MCA demi prinsip dan maruah parti.
“Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong sudah membuat kenyataan yang jelas semalam, jadi ia keputusan konsensus dan tiada perubahan, semua termasuk Wanita MCA akur dengan pendirian itu.
“Kalau kepemimpinan parti dah putuskan tidak akan bantu (PRK) jadi kita turuti saja arahan itu,” katanya.
Terdahulu, Pang Sock Tao, setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming diumum sebagai calon DAP mewakili Kerajaan Perpaduan bertanding pada Pilhan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.
Semalam Ka Siong menerusi rakaman video yang disiarkan di media sosial parti itu menegaskan MCA berkeras untuk tidak membantu DAP dalam kempen PRK Kuala Kubu Baharu.
Ka Siong berkata, pendirian MCA itu jelas demi prinsip dan maruah parti tersebut yang selama ini dihina, dimaki hamun dan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan liar oleh DAP.
Dalam pada itu, bekas naib presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker pula menggunakan pepatah Cina sebagai analogi ‘lebih baik mati atas kaki sendiri daripada hidup melutut’.
Beliau berkata, membantu kempen DAP umpama MCA berlutut kepada parti itu yang disifatkan hipokrit dan penuh kepura-puraan.
“Pemimpin MCA akan kehilangan semua maruah dan rasa hormat jika mereka berlutut sekarang.
“Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kejam dan berat sebelah apabila menendang MCA dengan mengatakan bahawa dia tidak membenci BN tetapi tidak suka MCA.
“Ini adalah hipokrit sedangkan kebenarannya adalah DAP meradikalisasi penyokong mereka untuk membenci MCA dengan berkata MCA ‘menjual’ kepentingan orang Cina kepada Umno dan Melayu.
“DAP seterusnya menjanjikan kaum Cina dan bukan Melayu satu padang yang sama rata dan menghapuskan hak Bumiputera yang menjadi pukulan “pembunuh” kepada MCA,” katanya.
Lian Ker berkata, selepas ‘membunuh’ dan mengatakan tidak suka kepada MCA, DAP memeluk Umno dan gembira berjuang bersama parti itu.
“Ini adalah kepura-puraan tertinggi dan tidak ada pemimpin MCA yang boleh “menunduk serendah DAP” untuk berpaling dan meminta ahli MCA mengundi DAP selepas ‘ditendang’ dengan kejam dan dipermalukan,” katanya. – 25 April, 2024