KUALA LUMPUR – Sepuluh kru Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut selepas dua helikopter bertembung dan terhempas ketika sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan HUT TLDM ke-90 di Lumut, Perak pagi ini.
Berdasarkan maklumat diterima, kedua-dua pesawat jenis HOM (M503-3) dan Fennec (M502-6) itu, dilaporkan berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.30 pagi tadi bagi menjalani latihan sempena sambutan berkenaan yang bakal disambut 21 Mei ini.
“Pesawat HOM terhempas di tangga Stadium TLDM, manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
“Dukacita dimaklumkan semua kru kedua-dua pesawat tiada yang terselamat,” katanya.
Tujuh kru TLDM yang berada dalam pesawat HOM itu, dikenalpasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi dan PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun.
Manakala tiga lagi yang berada dalam pesawat sama, masih belum dikenalpasti pihak berkuasa.
Tiga kru yang berada dalam pesawat Fennec pula, dikenalpasti sebagai Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan Sivasutan Thanjappan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi. – 23 April, 2024