PETALING JAYA – Komuniti penduduk Taman Medan membidas kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang mendakwa pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link) akan memberi kesan buruk kepada sektor perniagaan penduduk setempat.
Wakil penduduknya, Mohd Razali Abdullah berkata, kenyataan itu tidak relevan sama sekali kerana dengan kesesakan lalu lintas yang sedia ada, masih ramai penduduk dari luar kawasan Petaling Jaya tetap singgah ke Taman Medan untuk membeli barang keperluan.
“Kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Petaling Jaya (Chean Chung) itu tidak relevan bila dia kata pembinaan PJD Link akan mematikan (mundurkan) Taman Medan.
“Sekarang ini pun dalam keadaan jalan yang sesak, ada sahaja orang dari Damansara singgah pasar di sini, cuba bayangkan kalau lebuh raya dah siap, jalan jadi kurang sesak lagilah ramai orang luar boleh datang membeli di sini sekali gus ia akan menghidupkan lagi (perniagaan) di Taman Medan,” katanya pada sidang media merayu kerajaan meneruskan PJD Link di sini hari ini.
Terdahulu, Chean Chung menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman TikTok miliknya berkata, kewujudan PJD Link akan meminggirkan Taman Medan kerana orang ramai tidak akan melalui kawasan itu lagi sekiranya pembinaan lebuh raya tersebut diteruskan.
“Dengan adanya highway ini, rakyat tidak akan melalui Taman Medan dan ia pasti akan menjejaskan perniagaan dan bisnes penjaja di sini.
“Pada saya keputusan ini (pembatalan pembinaan PJD Link) paling tepat dan pada masa yang sama adalah untuk memperkasa pengangkutan awam supaya mutu kehidupan rakyat di Petaling Jaya dapat ditingkatkan,” katanya menerusi video tersebut.
Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Komuniti Petaling Jaya, Mohd Yusri Ramli mengakui kebanyakan penduduk terkejut dengan pembatalan PJD Link memandangkan ia telah mendapat kelulusan dari segi alam sekitar, trafik dan impak sosial yang dikendalikan oleh pihak konsesi.
“PJD Link merupakan alternatif terbaik untuk kurangkan kesesakan jalan raya di kawasan Taman Medan malah laporan alam sekitar, impak sosial serta trafik berkenaan pembinaan itu juga sudah diluluskan.
“Penduduk amat memerlukan lebuh raya ini sebab ia akan mengurangkan kesesakan lalu lintas apabila orang dari Shah Alam, Damansara dan Puchong boleh terus gunakan PJD Link sekiranya hendak ke Kuala Lumpur tanpa perlu melalui Taman Medan lagi selepas ini,” katanya.
Malah Mohd Yusri berkata, kerajaan perlu membayar pampasan sebanyak RM100 juta kepada pihak konsesi susulan pembatalan tersebut sedangkan projek pelaksanaannya sudah dijalankan bermula empat tahun lalu.
“Kalau ia dibatalkan, kerajaan kena bayar pampasan kepada konsesi. Bayaran pampasan ini duit siapa? Duit rakyat. Kita nak bela rakyat tetapi duit rakyat digunakan.
“Kami dah tak larat berhadapan dengan kesesakan jalan raya, makin hari makin teruk.
“Sekiranya PJD Link diteruskan, ia ibarat seperti di KL yang ada Lebuhraya Duke, Suke dan Akleh yang kini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota,” katanya.
Pada 17 April lalu, Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata, keputusan pembatalan projek itu dibuat selepas pemegang konsesinya, gagal memenuhi enam daripada 11 syarat yang ditetapkan.
Berdasarkan perancangan, lebuh raya terbabit akan menghubungkan bahagian utara dan selatan petaling Jaya menerusi Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park. – 22 April, 2024