KUALA LUMPUR – Seorang guru lelaki di sebuah sekolah di daerah Kemaman, Terengganu sedang diburu polis kerana dipercayai memukul rakan sekerjanya yang juga guru bahasa Inggeris, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian dikatakan berlaku di kawasan kantin sekolah berkenaan pada jam 6.55 pagi tadi.
Menurutnya, mangsa iaitu seorang guru wanita berusia 32 tahun mendakwa ditumbuk di bahagian mata kiri dan disepak suspek.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami lebam pada mata kiri.
“Usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan manakala punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan. – 21 April, 2024