Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
‘Saya tidak kejar gelaran’ kata Siti Nurhaliza mengenai Biduanita Negara | Scoop

‘Saya tidak kejar gelaran’ kata Siti Nurhaliza mengenai Biduanita Negara

"Saya tidak melihat perkara ini perlu diperdebatkan, kalau betul-betul ada rezeki saya dapatlah."

9:00 PM MYT

 


KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mahu semua pihak menghentikan perdebatan mengenai siapa yang layak memegang gelaran Biduanita Negara.

Menurut Siti, 45, selama 27 tahun mengabdikan diri dalam industri seni, beliau sama sekali tidak mengejar sebarang gelaran sebaliknya ikhlas menjalankan kerja sebagai anak seni.

“Sebenarnya berdirinya saya di sini sebagai seorang anak seni lebih kepada menghiburkan, berjuang demi minat yang saya ada. Gelaran itu akan datang pada waktunya.

“Saya tidak menagih (gelaran) kadang-kadang macam nak tergelak pun ada, kenapa ia masih diperdebatkan. Saya tidak melihat perkara ini perlu diperdebatkan, kalau betul-betul ada rezeki saya dapatlah,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan Nurjiwa dan CTDK Holdings di sini, hari ini.

Siti juga menjelaskan fokusnya kini hanyalah untuk terus menghiburkan peminat yang menjadi nadi penggeraknya selama ini.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga berkata, dia lebih mengharapkan penghargaan daripada peminat berbanding sebarang gelaran.

“Namun begitu, ia bukan bermaksud saya tidak menghargai (sebarang gelaran diberi), perjuangan saya bukan untuk gelaran.

“Cinta saya lebih kepada kerja-kerja menghiburkan.

“Memang tidak terfikir orang nak bagi ke apa dan saya buat sahaja kerja,” katanya.

Menurut Siti Nurhaliza, selama 27 tahun mengabdikan diri dalam industri seni, beliau ikhlas menjalankan tugasnya sebagai penghibur. – Halim Salleh/Scoop, 20 April, 2024

Sebelum ini Scoop melaporkan cadangan untuk menganugerahkan gelaran Biduanita Negara kepada penyanyi Siti Nurhaliza mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Di sebalik sokongan yang diterima oleh Siti, tidak kurang pula yang membantah dengan alasan terdapat penyanyi senior lain yang lebih layak dengan nama yang disebut adalah Datuk Sheila Majid.

Antara alasan kenapa Sheila layak ialah penyanyi lagu Sinaran itu dikatakan memberikan impak kepada budaya pop moden di negara ini.

Malah ada yang menyatakan Sheila adalah penyanyi legenda dan mempunyai kelas tersendiri.

Setakat ini hanya dua penyanyi yang pernah menerima gelaran Biduanita Negara iaitu Puan Sri Saloma dan Datuk Sharifah Aini. – 20 April, 2024

Topics

 

Hangat

Related