KUALA LUMPUR – Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang dan membakar ratusan kampit beras, sardin, tepung dan gula di sebuah tapak pelupusan sampah di Kuala Krau, Pahang, mencetuskan tanda tanya banyak pihak.
Gambar-gambar longgokan barang-barang berkenaan kini menjadi tular di media sosial dengan lokasi di mana ia dibuang dan dibakar itu dikatakan di Jalan Pintas Rumpun Makmur, Kg Gunung Senyum, Kuala Krau, Pahang.
Ia dipercayai dibuang sejak semalam.
Keadaan ini mencetuskan tanda tanya bagaimana barang-barang ‘berharga’ itu diperlakukan demikian rupa oleh pihak tersebut dan siapa yang bertanggungjawab.
Ramai yang meluahkan perasaan marah kerana barang tersebut sepatutnya disumbangkan kepada golongan yang tidak berkemampuan.
“Allahu sayangnya la bakar beras Jering Megah, Rosak sebab banjir atau sorok sampai luput? Baik bagi pada yang perlu, ramai orang susah,’’ demikian kekecewaan yang diluahkan oleh seorang pengguna media sosial, Ariff Rosdi di Facebook.
Manakala Nur Ain Shiha pula meluahkan kemarahan kerana ia merupakan sesuatu yang mengejutkan angkara manusia yang tidak bertanggungjawab.
“Khabar pagi Jumaat. Sangat menyedihkan angkara perbuatan manusia. Beras dibakar…beras yang sangat d ingini oleh rakyat marhaen dibakar ..tak tahu puncanya kenapa,’’ katanya.
Bagi Alif Hakimi pula mempersoalkan kenapa ada pihak yang sanggup membuang makanan dan membakarnya ketika ramai yang sedang mengalami kesusahan.
Susulan itu ramai yang meminta pihak berkuasa supaya menyiasat segera dan mengambil tindakan ke atas pelakunya.
Bagaimanapun seorang pengguna media sosial yang lain pula memaklumkan bahawa semua barang-barang tersebut telah dibersihkan di kawasan tapak pembuangan tersebut.
“Siapa-siapa yang nak ke Rumpun Makmur Gunung Senyum kutip beras tepung dan lain lain tu tak payah la pergi. Clear dah sampai jam 3 4 pagi kut dikerjakan.
“Video tapak lawatan digambar. Lapang dan laju hebat kerjanya,’’ katanya yang turut memuatkan gambar-gambar kawasan berkenaan sudah bersih dan tiada lagi kesan pembuangan barang makanan itu. – 19 April, 2024