Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Polis lepaskan tembakan, pemandu kereta seludup 22 tong plastik petrol | Scoop

Polis lepaskan tembakan, pemandu kereta seludup 22 tong plastik petrol

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan membunuh dan satu kesan tembakan pada rim tayar belakang sebelah kanan kenderaan dikesan

8:49 PM MYT

 

KOTA BHARU — Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar sebuah Proton Iswara apabila pemandunya membahayakan nyawa anggota polis yang hendak memeriksa kenderaan disyaki cuba menyeludup petrol itu, di Pos Kampung Pulau Ular, Pengkalan Kubor, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 7.10 pagi apabila anggota polis daripada Pasukan Gerakan Am melakukan rondaan dan terlihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan, sebelum bertindak mengejarnya.

Beliau berkata suspek yang berhenti di bahu jalan di kawasan lapang berhampiran pos itu secara tiba-tiba mengundurkan kenderaan ke arah anggota yang turun daripada motosikal untuk menghampirinya bagi tujuan pemeriksaan. 

“Anggota polis yang terkejut dengan tindakan suspek sempat mengelak dan terus melepaskan satu das tembakan bagi memberhentikannya dan meminimumkan ancaman ke atas nyawa anggota polis yang bertugas. Bagaimanapun suspek terus memecut untuk melarikan diri. Kenderaan itu kemudiannya ditemukan kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek tidak dapat dikesan selepas dipercayai melarikan diri ke arah belukar berhampiran dan polis menemukan 22 tong plastik berisi minyak petrol di dalam kereta yang ditinggalkan, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Mohd Khairi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan membunuh dan satu kesan tembakan pada rim tayar belakang sebelah kanan kenderaan dikesan. – 17 April, 2024

Topics

 

Hangat

Related