KUALA LUMPUR – Paras air di Sungai Binjai di Meru, Klang, Selangor yang merekodkan bacaan melebihi tahap bahaya sejak awal pagi tadi, masih kekal pada angka terbabit setakat jam 2 petang ini.
Menurut laman sesawang Public Infobanjir, Sungai Binjai mencatatkan bacaan aras air 4.66 meter (m), melebihi tahap bahaya ditetapkan, iaitu 4.2 meter (m).
Sungai Linggi, Linggi, Port Dickson yang merekodkan paras air 3.33m, melebihi tahap bahaya, iaitu 3.3m pada pagi tadi, menunjukkan penurunan pada 2 petang ini ke tahap amaran.
Sementara itu, Sungai Kapar Kechil di Kampung Perepat, Kapar; Sungai Buloh di Sri Aman, Kuala Selangor, Sungai Buloh di Parit Mahang, Kuala Selangor dan Sungai Klang di Kampung Delek, Klang di Selangor masih melebihi tahap amaran setakat 2 petang ini.
Turut menunjukkan paras melebihi amaran adalah Sungai Rembau di Titian Bintangor, Rembau.
Hujan lebat sejak semakin menyaksikan situasi banjir yang semakin memburuk di Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor setakat pagi ini.
Ratusan mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri berkenaan, sehingga jam 8 pagi tadi. – 17 April, 2024