KUALA LUMPUR — Lawrence Wong bakal dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Singapura berkuat kuasa 15 Mei ini.
Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), Lawrence akan menggantikan Lee Hsien Loon yang menyandang jawatan tersebut sejak 2004.
“Perdana Menteri (Hsien Loong) akan melepaskan jawatannya pada 15 Mei ini.
“Beliau akan menasihati Presiden untuk melantik Lawrence yang juga Timbalan Perdana Menteri bagi menggantikannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PMO menambah, pelantikan Lawrence yang turut memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen PAP (People’s Action Party).
Perdana Menteri keempat Singapura itu akan mengangkat sumpah pada jam 8 malam, 15 Mei ini di Istana.
Terdahulu Lawrence dalam kenyataannya di Facebook berkata, beliau amat berbesar hati untuk menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Singapura seterusnya.
Malah beliau berikrar untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat dan negara.
“Bersama kita membina masa depan yang lebih cerah untuk rakyat Singapura,” katanya. – 15 April, 2024