Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
MCMC sita kad sim, telefon bimbit pengendali MyNewsHub di tengah siasatan video kontroversi | Scoop

MCMC sita kad sim, telefon bimbit pengendali MyNewsHub di tengah siasatan video kontroversi

Tindakan dilakukan susulan penularan klip video dengan tajuk ‘Tanya pasal kuarters jer dh kene mcm tu depan KSN!!’

8:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak menyita kad sim dan satu unit telefon bimbit milik pengendali MyNewsHub bagi membantu siasatan berhubung satu klip video lama yang dimuat naik pengendali akaun media sosial berkenaan.

Menurut Jabatan Komunikasi Korporat MCMC, tindakan itu dilakukan selepas percakapan suspek dirakam di Ibu pejabat suruhanjaya itu di Cyberjaya, Selangor kira-kira jam 8.40 malam semalam.

“Ini susulan tindakan suspek memuat naik dan memainkan semula klip video lama dengan teks yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.

“Setelah selesai siasatan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCMC memandang serius penularan video berdurasi 1 minit 10 saat dengan tajuk ‘Tanya pasal kuarters jer dh kene mcm tu depan KSN!!’.

“Muat naik kandungan yang mempunyai niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu pihak lain seumpama ini adalah melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Berdasarkan kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Awam, video tersebut merupakan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif,” tegas MCMC.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu,” katanya. – 13 April, 2024

Topics

 

Hangat

Related