KUALA LUMPUR — Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh hari ini menyelar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming susulan kenyataan bahawa kempen boikot menjejaskan ekonomi negara.
Akmal yang turut melabel menteri dari DAP itu dengan panggilan ‘bodoh’, bertegas menafikan kempen boikot yang dicadangkannya sebagai punca ekonomi negara semakin teruk.
“Jadi kamu nak beritahu yang kempen boikot ni yang jadi punca ekonomi negara teruk ke?
“Dulu zaman Najib Razak kita buat je kempen boikot, tetapi ekonomi tetap naik dengan baik.
“Kepada YB menteri Nga Kor Ming yang kurang bijaksana, ekonomi negara jadi teruk sebab ada menteri yang mcm kamu!!! Bodoh!!,” tulisnya di Facebook hari ini.
Semalam, Nga membuat hantaran di X mengatakan bahawa pekerja tempatan sedang menanggung sengsara akibat boikot yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Jangan sekali masuk dalam perangkap penghasut, negara kita memerlukan usaha semua pihak untuk membangunkan ekonomi negara, kata Nga.
Beliau turut memuat naik tangkapan skrin daripada laporan media Cina dalam ciapan tersebut.
Akmal sebelum ini telah membuat gesaan supaya orang ramai memboikot kedai serbaneka KK Mart susulan isu stoking tertera kalimah Allah.
Beliau juga dipanggil untuk disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada 5 April lalu.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1958 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung ucapan dan tindakannya mengenai isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Mart.
Meskipun berdepan siasatan, Akmal menegaskan beliau bersedia untuk berdepan dengan tindakan undang-undang di mahkamah susulan tindakannya mengajak umat Islam terus memboikot kedai serbaneka KK Mart. – 12 April, 2024