Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Saya mohon maaf kepada PM atas kritikan, alangkah baiknya jika pemimpin politik sahut seruan imam: Zaid | Scoop

Saya mohon maaf kepada PM atas kritikan, alangkah baiknya jika pemimpin politik sahut seruan imam: Zaid

Menurutnya, kritikan itu bukan untuk menyakiti hati sesiapa tetapi hanya mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk negara

5:33 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sempena kedatangan bulan Syawal yang juga dianggap sebagai bulan kemaafan, ramai mengambil peluang ini untuk bermaaf-maafan di pagi raya.

Tidak terkecuali, peguam Datuk Zaid Ibrahim turut memohon maaf kepada pemimpin politik terutamanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mungkin terguris hati dengan kritikannya di media sosial.

Menurutnya, kritikan itu bukan untuk menyakiti hati sesiapa tetapi hanya mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk negara.

“Selama bertahun-tahun saya menulis dan blogging, saya pastinya membuat ramai terluka. Ia tidak pernah bertujuan untuk memberi kesan itu, tetapi tanpa mengira niat, ramai yang akan terluka dengan banyak perkara yang dikatakan.

“Untuk menawarkan idea dan mengharapkan yang terbaik untuk negara adalah satu tugas besar yang tidak boleh dilakukan tanpa melakukan kesilapan atau menyakiti pemimpin.

“Jadi hari ini, saya memohon kemaafan daripada pembaca saya untuk perkara yang saya katakan atau pandangan yang boleh menyakiti mereka. Terutama kepada pemimpin politik dan agama, seperti Perdana Menteri, yang telah menerima kritikan saya,” katanya menerusi ciapan di platform X, hari ini.

Menurut beliau, alangkah baiknya sekiranya pemimpin politik tanpa mengira agama dan kaum turut saling bermaaf-maafan di bulan Syawal ini.

“Alangkah baiknya negara ini, jika pemimpin politik kita menyahut seruan (saling bermaaf-maafan) imam di masjid pagi tadi.

“Bagaimana negara akan pulih dalam pelbagai cara jika (Tun) Dr Mahathir, (Tan Sri Abdul) Hadi Awang, Anwar dan (Datuk Seri) Najib Razak (dan Lim Guan Eng) dilihat berpelukan dalam amalan bermaaf-maafan hari ini.

“Jika Rasulullah boleh memaafkan mereka yang membunuh sahabat dan kawan rapat baginda, mengapa seteru politik kita begitu penuh dengan kebencian sehingga tiada kemaafan boleh dilakukan?” soalnya.

Zaid berkata, banyak episod dalam kehidupan Rasulullah meletakkan keutamaan dan kepentingan yang besar pada amalan bermaaf-maafan.

Bagaimanapun, katanya, di sebalik seruan imam masjid di seluruh negara agar semua pihak di negara ini saling bermaaf-maafan, masih ramai tidak ikhlas dalam melakukan amalan ini.

“Mereka mungkin tersenyum dan menghulurkan tangan, memohon kemaafan, tetapi ada yang tidak bersungguh-sungguh. Mereka tidak ikhlas. Sikap sebegitu amat menyedihkan.

“Itulah sebabnya kita perlu menghayati ajaran Islam yang penting ini untuk memaafkan dengan ikhlas.

“Memaafkan boleh membersihkan racun kebencian dan mengeluarkan cahaya dan tenaga baharu untuk membolehkan kita melakukan kebaikan,” katanya.

Beliau berkata, jika rasuah memusnahkan jiwa pemberi dan penerima, tindakan memohon kemaafan membersihkan minda dan tubuh kedua-dua pihak yang meminta maaf dan yang memaafkan.

“Saya tahu kita adalah pengamal sistem baru yang dipanggil demokrasi dan kedaulatan undang-undang, tetapi sistem itu harus wujud bersama dengan prinsip Islam.

“Sistem yang tidak mempunyai tempat untuk memohon maaf adalah sistem yang diuruskan oleh ego,” katanya. – 10 April, 2024

Topics

 

Hangat

Related