Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Logo kasut mirip kalimah Allah: MCMC ingatkan jangan buat hantaran melampau atau berdepan tindakan | Scoop

Logo kasut mirip kalimah Allah: MCMC ingatkan jangan buat hantaran melampau atau berdepan tindakan

Menurutnya, semua pihak juga perlu memberikan ruang kepada Jakim dan pihak berkuasa melakukan siasatan berhubung dakwaan berkenaan

9:50 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan mengambil kesempatan berhubung isu logo kasut didakwa mirip kalimah Allah.

Menerusi kenyataannya, MCMC berkata, tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu juga akan dikenakan kepada pihak yang membuat hantaran atau meninggalkan komen melampaui batas, sehingga boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

“Susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), MCMC menggesa mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat di media sosial, melibatkan logo kasut didakwa mirip kalimah Allah, melaporkannya kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“MCMC tidak akan teragak-agak mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sekiranya ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap isu terbabit, selain membuat hantaran atau meninggalkan komen melampaui batas yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum,” katanya.

Menurut MCMC, semua pihak juga perlu memberikan ruang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa melakukan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

“Orang ramai diingatkan tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R (bangsa, raja dan agama).

“Sebaliknya laporkan kepada MCMC di pautan https://aduan.mcmc.gov.my dan PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh memberi tempoh 24 jam kepada Vern’s untuk membuat penjelasan berhubung dakwaan penemuan bentuk logo seakan-akan kalimah Allah pada tapak kasut keluaran syarikat itu.

Katanya, jika tiada penjelasan dalam tempoh terbabit, tindakan boikot akan digerakkan terhadap produk berkenaan.

Isu terbabit tular di media sosial selepas seorang pengguna mendakwa, logo itu dilihat pada tapak kasut yang baru dibeli untuk isterinya.

Pihak pengurusan Vern’s kemudian tampil memohon maaf kepada semua pihak dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan.

Malah menurutnya, pihak syarikat sama sekali tidak berniat menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.

“Untuk pengetahuan semua, logo ini 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi.

“Bagaimanapun, kami akui terdapat kekurangan pada rekaan logo terbabit yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Vern’s, pihak syarikat sudah mengambil langkah segera menghentikan penjualan kasut berkenaan dan bersedia memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang sudah membeli produk itu.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung isu tular terbabit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan perkara itu kepada Scoop dengan turut memaklumkan, Jakim sudah diarah memanggil pihak berkaitan hari ini, bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu berkenaan. – 8 April, 2024

Topics

 

Hangat

Related