KUALA LUMPUR – Ketiadaan satu badan pemikir atau kajian khas (research centre) menyebabkan Umno Selangor dilihat seperti ‘terumbang-ambing’ dalam membentuk sebarang strategi untuk penambahbaikan parti itu sendiri.
Untuk itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof. Madya Azmi Hassan bersetuju dengan pandangan Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang melihat Umno Selangor seperti ‘masih tidak ada apa-apa’ sebarang perubahan dilakukan walaupun sudah lapan bulan Pilihan Raya Negeri (PRN) berlalu.
Bercakap kepada Scoop, Azmi berkata, isu Umno Selangor tiada hala tuju dan tidak tahu rangka strategi selepas PRN, PRU14, PRU15, berkemungkinan disebabkan mereka tiada satu badan pemikir untuk memandu dalam memberi nasihat bagi membentuk strategi parti.
“Umno Selangor seperti tiada kekuatan untuk bangkit semula dan mereka seakan-akan tidak tahu apa kelemahan serta kesilapan mereka.
“Kalau tengok parti politik lain seperti Bersatu dan PKR (Parti Keadilan Rakyat), mereka ada pasukan penyelidik malah Kerajaan Madani pun ada Madani Research Centre sendiri. Mungkin disebabkan itu Umno dikatakan masih melaksanakan strategi politik cara lama, bukan mengikut data seperti yang diperkatakan oleh Tengku Zafrul,” katanya.
Azmi berkata, ketiadaan sebarang saluran khas untuk ahli-ahli serta veteran UMNO menyalurkan pandangan juga menjadi antara penyebab parti itu masih lagi di takuk lama berbanding parti-parti politik lain yang sentiasa bersedia dengan perancangan strategi masing-masing.
“Saya merasakan (bersetuju) apa yang dikatakan Tengku Zafrul itu kerana beliau melihat sendiri kelemahan-kelemahan itu, malah saya lihat veteran Umno pun sukar untuk memberikan pandangan mereka kerana dikatakan tidak ada saluran yang boleh mereka berikan.
“Jadi boleh dikatakan itu adalah kelemahan Umno kerana enggan atau tidak boleh menerima serta tidak ada saluran untuk kumpulan-kumpulan tertentu memberikan cadangan.
“Pada pendapat saya, ini bukan sahaja masalah dalaman Umno Selangor, tetapi juga melibatkan Umno peringkat pusat,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan pengundi Melayu yang mengundi DAP pada PRN lalu akan membuat pusingan U (u-turn) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang akan diadakan pada 11 Mei ini berikutan beberapa isu panas berkaitan 3R (kaum, agama, diraja), Azmi berkata perkara itu sama sekali tidak akan mungkin terjadi.
“Ini kerana pengundi Melayu yang mengundi DAP adalah pengundi tegar Pakatan Harapan (PH) dan mereka ini bukan penyokong Umno.
“Jadi datanglah apa isu sekali pun, pengundi ini tetap akan sokong PH,” katanya.
Dalam pada itu Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakob juga bersetuju dengan saranan Tengku Zafrul agar Umno merangka kerjasama menang-menang dengan rakan-rakan parti di Selangor.
“Saya bersetuju dengan apa dikatakan Tengku Zafrul, tidak nampak sebarang usaha yang bersungguh-sungguh dan ini bukan sahaja kepada Umno Selangor tetapi juga untuk parti itu di peringkat negeri-negeri lain.
“Walau bagaimanapun, saya tidak berapa pasti mengenai rakan-rakan parti itu ditujukan kepada komponen dalam Barisan Nasional (BN) seperti MIC dan MCA atau rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan iaitu PKR, DAP dan Amanah.
“Tetapi yang jelas, kerjasama dengan rakan-rakan dalam BN akan terus bersambung contohnya PRK Kuala Kubu Baharu yang akan datang ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan BN tidak akan bertanding dan walaupun terdapat sedikit tentangan daripada MCA yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, tetapi kalau kita tengok, sekiranya DAP menang, ia adalah kemenangan untuk Kerajaan Perpaduan juga (win-win situation),” katanya.
Mustapha berkata, PRK itu menjadi medan ujian untuk DAP kerana merasakan kemungkinan besar pola pengundian akan berubah, di mana kebanyakan pengundi Cina mungkin akan memangkah Perikatan Nasional (PN) disebabkan mereka melihat gabungan DAP dalam Kerajaan Perpaduan sebagai satu kerugian buat parti berkenaan.
“PRK ini akan jadi medan ujian untuk DAP, kalau dulu-dulu orang kata tiada masalah untuk orang Cina menyokong DAP tetapi kali ini, ia belum tentu lagi.
“Mungkin orang Cina tidak akan sokong DAP lagi kerana mereka melihat keberadaan BN dan Umno dalam Kerajaan Perpaduan itu merugikan DAP kerana mereka mahu DAP memerintah secara total.
“Pada PRN yang lepas kita tengok pengundi Melayu juga banyak yang lari kepada PN dan mungkin pola ini akan mempengaruhi pengundi Cina beralih sama kepada PN. Jadi, Umno perlu segera menyusun strategi sebagai persediaan lebih-lebih lagi untuk PRU yang akan datang,” katanya.
Semalam, Tengku Zafrul mencadangkan lima cara mengembalikan kegemilangan Umno di Selangor selepas lima hari meletakkan jawatan sebagai Bendahari Umno negeri itu.
Isnin lalu, ketika mengumumkan peletakan jawatannya, Tengku Zafrul menyatakan keputusan beliau itu selepas melihat kebangkitan parti berkenaan di negeri itu dilihat hambar dan tidak sehaluan dengan tema Umno pusat. – 8 April, 2024