KUALA LUMPUR — Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang meletak jawatan sebagai Bendahari Umno Selangor baru-baru ini melihat parti itu di peringkat negeri seperti ‘masih tidak ada apa-apa’ walaupun sudah lapan bulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor berlalu.
Malah Ketua Umno Bahagian Kota Raja itu menegaskan Umno di peringkat negeri itu masih tidak melakukan post-mortem mendalam.
Lebih mengecewakannya, Umno Selangor masih tidak ada strategi baru untuk menawan hati rakyat.
“Dalam PRU (Pilihan Raya Umum) 2022, Umno mencatatkan prestasi terburuknya dalam sejarah. Satu kerusi pun tak menang. Kemudian kita tiba ke PRN. Cuma menang dua kerusi. Kalah teruk lagi.
“Selepas Umno Selangor kalah teruk PRN Selangor, saya nyatakan bahawa ini adalah amaran terakhir untuk Umno Selangor. Kalau keputusan PRN itu masih belum celikkan Umno Selangor, tak ada apa yang boleh celikkan Umno Selangor.
“Jadi, kalau pandangan saya tentang keperluan mendesak untuk mengembalikan kegemilangan Umno Selangor tidak diterima, saya kira lebih baik saya tumpukan kepada membantu Umno di peringkat pusat dan di peringkat bahagian,” katanya dalam kenyataan di laman X.
Tengku Zafrul berkata, mengikut pandangannya, ada lima cara yang dapat mengembalikan kegemilangan Umno Selangor.
Pertama katanya, Umno Selangor perlu melaksanakan kajian sikap yang ikhlas melambangkan denyut nadi keseluruhan rakyat negeri Selangor.
“Kedua, memodenkan operasi organisasi. Organisasi yang kos efektif, pantas berkomunikasi, terbuka dengan idea daripada akar umbi, meletakkan cadangan dasar sebagai keutamaan, mengguna pakai data dan analisis dengan tepat.
“Ketiga, mencari pelapis dengan hati yang terbuka. Ini penting kerana akhirnya, organisasi Umno Selangor itu akan dihakimi rakyat dengan pemimpin yang ditonjolkan,” katanya.
Strategi keempat pula katanya, merangka kerjasama yang menang-menang dengan rakan-rakan parti di negeri Selangor.
“Kelima dan yang paling penting, kita perlu terapkan budaya-budaya politik baharu – baik budaya intelektual, fokus kepada solusi dan dasar, buang cah keting. Kerana jika kita tidak ubah budaya, tidak kiralah tebal mana pelan visi kita, akhirnya kita akan kekal tanpa kuasa.
“Saya masih komited dengan Umno Bahagian Kota Raja dan Umno Selangor. Kerana saya yakin bahawa kita semua berkongsi impian yang sama iaitu untuk melihat Umno Selangor kembali relevan dan dihormati rakyat Selangor.
“Jalan itu tidak mudah. Kita perlu bekerja keras. Tetapi inilah resam perjuangan dan impian yang wajib dilaksanakan,” katanya.
Pada 1 April lalu, Tengku Zafrul meletak jawatan sebagai Bendahari Umno Selangor.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, jawatan itu lebih baik diisi individu yang boleh menyumbang dengan lebih efektif.
Beliau berkata, antara sebab keputusan itu diambil berikutan perencanaan untuk kebangkitan Umno di Selangor dilihat hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di peringkat pusat. – 6 April, 2024