KUALA LUMPUR — Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) sesak akibat kejadian treler terbakar di Kilometer (KM) 27.25 dari Genting Sempah menghala ke Gombak.
Menerusi perkongsian @LPTTrafik di platform X, trafik sesak sejauh 3.2km menghala ke Kuala Lumpur dari KM30.2 sehingga lokasi kejadian.
“Awas! Terdapat kejadian lori terbakar di KM27.25 arah KL (Genting Sempah-Gombak). Lorong kanan dibuka kepada trafik.
“Trafik sesak 3.2km dari KM30.2 hingga lokasi kejadian. Awasi jarak kenderaan anda,” katanya.
Dalam pada itu, @LPTTrafik memaklumkan aliran trafik di lebuh raya itu menghala ke Pantai Timur dilaporkan bergerak perlahan setakat jam 1 petang ini.
Ia susulan orang ramai mula bergerak pulang ke kampung halangan untuk menyambut Aidilfitri.
Katanya, aliran trafik bergerak perlahan menuju plaza tol Gombak dengan kesesakan sejauh 12.9km dari Tol Gombak hingga KM40.9 menghala ke Bukit Tinggi.
“Aliran trafik turut dilapor perlahan sejauh 1.6KM dari Bentong menuju ke Lentang berikutan pertambahan trafik. Hati-hati memandu,” katanya.
Sementara itu, aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan(PLUS) dilaporkan masih terkawal.
@PLUStrafik memaklumkan, insiden lori rosak di KM263.3 dari Ipoh ke Kuala Kangsar pada jam 11.42 pagi sudah diselesaikan dan kenderaan mula bergerak dengan lancar.
Selain itu, beberapa Laluan Smartlane juga diaktifkan pagi ini, antaranya di KM 150.4 hingga KM146.4 arah Utara dari Bukit Tambun hingg ke Juru. – 6 April, 2024