KUALA LUMPUR – Memasuki minggu terakhir Ramadan, orang ramai sudah mula beransur pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Malah aliran trafik di beberapa lebuh raya utama menghala Pantai Timur dan utara, dilaporkan mula perlahan setakat jam 9 pagi ini.
Di sebalik keterujaan untuk balik kampung, seorang netizen berkongsi keadaan sampah sarap yang bertaburan di tepi jalan angkara perbuatan pengguna jalan raya.
Difahamkan, gambar berkenaan dirakam semalam (5 April) di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) atau sebelum ini dikenali sebagai Central Spine Road (CSR).
Individu tersebut menyindir tindakan pengguna jalan raya yang masih meneruskan tabiat lama mereka setiap kali melalui lebuh raya berkenaan ketika pulang beraya.
“Simboliknya orang Kelate (Kelantan) buang sampah di Pahang sebelum masuk ke sempadan Kelantan adalah satu bentuk penyucian diri.
“Justeru sebelum pulang ke negeri Serambi Mekah, perlu dibuang sampah ke tepi jalan agar diri setiap anak Kelate kembali suci bersih ibarat kain putih, tiada dosa walau sekecil zarah,” katanya.
Hantaran tersebut turut mendapat perhatian ramai dengan rata-rata mengecam tindakan pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab itu.
“It’s time for the government to install cameras in these areas (Sudah tiba masanya kerajaan memasang kamera di kawasan ini). Saman je semua,” kata @streraphine.
“Benda boleh simpan dalam kereta dulu. Sampai stesen minyak, tempat rehat atau rumah barulah buang,” kata @AqilZafri13.
Sementara itu, seorang netizen turut hairan dengan perangai segelintir rakyat Malaysia yang disifatkan masih mempunyai minda kelas ketiga.
“Saya orang Kelantan. Saya sangat pelik dan tak faham kenapa ada yang perangai begini.
“Saya pantang kalau anak-anak buang sampah merata-rata. Dalam kereta mesti sediakan plastik untuk isi sampah. Sampai mana-mana nampak tong sampah buanglah,” kata @nikjks_ct.
Untuk rekod, situasi itu pernah tular pada 2022 ketika orang ramai mula dibenarkan balik kampung selepas dua tahun tidak dapat beraya kerana kekangan wabak Covid-19.
Meskipun teguran sudah dibuat, keadaan tersebut nampaknya berulang lagi kali ini. – 6 April, 2024