Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Peras ugut lelaki RM2,000, dua anggota polis diberkas | Scoop

Peras ugut lelaki RM2,000, dua anggota polis diberkas

Reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah terhadap suspek akan dipohon di Mahkamah Johor Bahru esok

11:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dua anggota polis yang didakwa melakukan peras ugut wang bernilai RM2,000 terhadap seorang lelaki di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru baru-baru ini, sudah ditahan.

Ketua Polis Johor, M Kumar berkata, penahanan ke atas suspek berumur 32 dan 33 tahun itu dilakukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada kira-kira jam 1.50 petang hari ini.

“IPD Johor Bahru Selatan menerima satu laporan polis hari ini pada kira-kira jam 12.23 tengah malam daripada seorang lelaki warga tempatan berumur 29 tahun yang mendakwa, dia diperas ugut RM2,000 oleh dua anggota polis ketika berada di BSI, Johor Bahru pada 2 April 2024.

“Siasatan awal mendapati semasa mangsa melalui BSI untuk pemeriksaan Imigresen, dia ditahan kedua-dua suspek kerana dikatakan mempunyai rekod kesalahan jenayah,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, suspek memeras ugut mangsa supaya membayar wang berjumlah RM2,000 bagi mengelakkannya daripada ditangkap dan ditahan di lokap polis.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua anggota polis tersebut, mendapati mereka negatif dari segala jenis dadah,” katanya.

Kumar berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara hingga tujuh tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Menurutnya, reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dipohon di Mahkamah Johor Bahru esok.

Polis Johor, katanya, komited dalam memerangi masalah integriti serta salah laku jenayah dalam kalangan pegawainya, demi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pegawai polis yang melakukan jenayah, berlandaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, diminta menghubungi hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 atau terus menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Kathiresh Rajagopal di talian 013-4472909,” katanya. – 5 April, 2024

Topics

 

Hangat

Related