Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Penahanan Akmal: Umno Jasin terkejut, ‘kelantangan beliau disalah tafsir’ | Scoop

Penahanan Akmal: Umno Jasin terkejut, ‘kelantangan beliau disalah tafsir’

Beliau berkata, tidak menjadi sebarang kesalahan untuk rakyat menganjurkan serta melaksanakan boikot terhadap mana-mana pihak, selagi ia dalam ruang lingkup perundangan negara

5:47 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Umno Bahagian Jasin terkejut dan sedih dengan penahanan Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh di Sabah berhubung isu stoking tertera kalimah Allah walaupun pemimpin itu sudah bersetuju hadir memberi keterangan ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi esok.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Jasin, Azman Abdullah berkata, pihaknya mengharapkan agar pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab dengan penuh etika dan profesional.

“Kelantangan YB Dr Akmal dalam isu kebiadapan peniaga menghina kalimah Allah disalah tafsir.

“Beberapa insiden keganasan berkaitan isu ini sudah dihalakan kepada pihaknya sebagai punca,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, Umno Bahagian Jasin akan terus berjuang bersama Dr Akmal bagi terus menjamin keselamatan serta kesucian Islam, bangsa Melayu dan Raja Melayu daripada bahan hinaan musuh.

Menurutnya, pihaknya juga bertegas dengan seruan #BoikotKKMart dan akan terus kekal dengan prinsip itu.

Azman berkata, tidak menjadi sebarang kesalahan untuk rakyat Malaysia menganjurkan serta melaksanakan boikot terhadap mana-mana pihak, selagi ia dalam ruang lingkup perundangan negara.

“Sekali lagi ditegaskan bahawa boikot ini dianjurkan secara aman dan penuh tertib.

“YB Dr Akmal tidak pernah sekali dalam apa-apa keadaan atau di mana-mana tempat, sama ada menggesa mahupun mengarahkan sesiapa bertindak di luar batas undang-undang,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap supaya semua ahli Umno, terutama di Bahagian Jasin terus mendoakan agar segala urusan Dr Akmal dipermudahkan.

“Umno Bahagian Jasin sentiasa menjunjung tinggi Kedaulatan Undang-Undang dan seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah,” katanya.

Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau ditahan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pagi ini.

Penahanan itu dimaklumkannya menerusi Facebook, dengan memaklumkan beliau sepatutnya dijadual memberi keterangan di IPD Dang Wangi esok.

Menurut Dr Akmal, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan meminta orang ramai mendoakan urusannya dipermudahkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan dilakukan terhadap Dr Akmal.

Siasatan itu katanya, dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Muktimedia 1998.

Ujarnya, siasatan itu susulan dua laporan polis diterima berkaitan ucapan dan tindakan pemimpin berkenaan berhubung isu stoking terbabit. – 5 April, 2024

Topics

 

Hangat

Related