Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Peguam, penasihat undang-undang Umno akan bantu Dr Akmal: Asyraf | Scoop

Peguam, penasihat undang-undang Umno akan bantu Dr Akmal: Asyraf

Bantuan itu susulan kes penahanan Ketua Pemuda Umno berkenaan di IPD Kota Kinabalu

2:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Umno akan memberikan bantuan guaman kepada Ketua Pemuda parti itu, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung kes penahanannya di Kota Kinabalu.

Setiausaha Agung Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihak parti sudah meminta peguam dan penasihat undang-undangnya, Datuk Mohd Hafarizam Harun membantu Dr Akmal Saleh.

“Saya sudah menghubungi adinda saya, Dr Akmal Saleh yang ditahan pagi tadi untuk proses mengambil keterangan di IPD (Ibu Pejabat Polis) Kota Kinabalu.

“Alhamdulillah beliau berada dalam keadaan baik dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis yang menjalankan tugas,” katanya menerusi Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, menurut Dr Akmal beliau sepatutnya dijadual memberikan keterangan di Kuala Lumpur esok, namun ditahan setibanya di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

“Setakat perbualan telefon dengan beliau sebentar tadi, dimaklumkan beliau dibebaskan selepas segala keterangan selesai diambil pihak polis,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu ditahan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pagi ini, sebaik keluar dari balai pelepasan berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.

Penahanan itu dimaklumkan beliau menerusi Facebooknya, dengan memaklumkan beliau sepatutnya dijadual memberi keterangan di IPD Dang Wangi esok.

Dr Akmal memaklumkan beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan meminta orang ramai mendoakan urusannya dipermudahkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan siasatan dilakukan terhadap Dr Akmal Saleh.

Siasatan itu katanya, dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Muktimedia 1998.

Ujarnya, siasatan itu susulan dua laporan polis diterima berkaitan ucapan dan tindakan pemimpin berkenaan berhubung isu stoking terbabit. – 5 April, 2024

Topics

 

Hangat

Related