KUALA LUMPUR – PAS memberi amaran kepada Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) agar tidak mencampuri urusan hal-ehwal dan pentadbiran agama Islam yang mempunyai kedudukan khas serta istimewa sebagai agama Persekutuan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perlu juga diingat bahawa hak dan kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan bagi agama-agama di Malaysia yang turut meliputi agama Islam dan perlu dipatuhi serta dihormati oleh semua pihak dan golongan.
Menurutnya, “percanggahan atau polemik undang-undang” yang cuba dibangkitkan MCCBCHST adalah tidak berkaitan sama sekali dengan kedudukan dan peranan sahnya sebagai sebuah majlis perundingan agama.
Malah katanya, persoalan yang dibangkitkan MCCBCHST tidak menunjukkan sebarang bukti atau contoh bagaimana pentadbiran atau pindaan undang-undang Islam itu boleh memberi kesan ke atas agama atau amalan agama-agama bukan Islam di negara ini.
“Apakah MCCBCHST mahu berperanan sebagai penyibuk (busybody) atau “hantu orang tengah” (ghost intermeddlers) sebagaimana yang pernah dinyatakan dalam beberapa penghakiman di Mahkamah Persekutuan sebelum ini berkaitan isu sama.
“Ini kerana perbuatan sedemikian akan hanya menimbulkan kecurigaan yang mendalam terhadap niat dan motif sebenar majlis itu sendiri.
“Sebagai badan perundingan agama, PAS beranggapan peningkatan amalan beragama yang meluas, sihat dan teratur dalam kalangan pengikut semua agama tentulah menjadi antara cita-cita murni MCCBCHST atas kesedaran bahawa ia berpotensi menyumbang kepada peningkatan mutu kehidupan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, dalam konteks penambahbaikan kepatuhan orang Islam kepada agama mereka melalui cadangan pindaan undang-undang tersebut, MCCBCHST cuba menghalang dan menyekatnya dengan bantahan yang tidak berkaitan dan naratif yang salah.
Terdahulu, MCCBCHST dilaporkan beranggapan cadangan pindaan tersebut tidak berperlembagaan (unconstitutional) dan bertentangan dengan struktur asas Perlembagaan atas alasan kesalahan jenayah berkaitan sudah termasuk dalam undang-undang jenayah sedia ada sebagaimana yang disenaraikan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, motif dan agenda sebenar majlis berkenaan terus menjadi persoalan dan kenyataan tersebut berpotensi menimbulkan suasana tidak harmoni dalam konteks hubungan antara kaum dan agama.
“Dalam pada itu, PAS merakamkan rasa ralat yang mendalam terhadap sikap tidak peka mahupun peduli apabila isu ini ditimbulkan pada masa yang sangat tidak sesuai, iaitu pada 22 Ramadan, di saat umat Islam sedang berada di kemuncak dalam menjalani ibadat yang amat penting dalam agamanya.
“Sayangnya tempoh itu secara sengaja dipilih untuk mencampakkan bantahan dan polemik berkenaan ke tengah-tengah masyarakat Islam tanpa mengambil kira atau endah mengenai kesannya ke atas ketenangan dan keselesaan mereka untuk menjalankan ibadah yang dituntut oleh Islam.
“Bagi PAS, ini bukan sahaja tindakan yang keterlaluan dan bersifat provokatif, tetapi boleh dilihat sebagai perbuatan mencetuskan permusuhan dan tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara yang menjunjung cita-cita kerukunan dan perpaduan rakyatnya.
Takiyuddin berkata, PAS menegaskan bahawa cadangan pindaan Akta 355 tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan atau struktur asas Perlembagaan Persekutuan dan adalah sah serta berperlembagaan (valid and constitutional).
Katanya, oleh itu, PAS menggesa kerajaan supaya segera memberikan respons terhadap kenyataan songsang MCCBCHST, sekali gus mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera. – 5 April, 2024