Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Permohonan Najib untuk tahanan rumah ditetap April, tunggu tandatangan ‘saksi kritikal’ dalam afidavit | Scoop

Permohonan Najib untuk tahanan rumah ditetap April, tunggu tandatangan ‘saksi kritikal’ dalam afidavit

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan berkenaan bagi mendapatkan satu lagi tandatangan untuk menyokong afidavit itu

12:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 17 April bagi mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Ia ditangguhkan selepas peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan berkenaan bagi mendapatkan satu lagi tandatangan untuk menyokong afidavit itu.

“Kami (telah) meminta tarikh lebih awal. Malangnya, salah seorang saksi yang paling kritikal, yang sepatutnya menandatangani afidavit itu telah ke Makkah… Dan saksi ini dijangka kembali untuk Hari Raya (minggu depan).

“Dan afidavit ini kritikal. Walaupun pada peringkat ini, saya hanya memerlukan penangguhan yang singkat,” katanya.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menjadualkan pendengaran pada 17 April, selepas tiada bantahan direkodkan daripada Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, yang merupakan responden dalam kes ini.

Amarjeet turut mengarahkan hujahan bertulis difailkan pada 15 April.

Dalam pada itu, Shafee, ketika ditemui media, enggan mendedahkan identiti saksi tersebut.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan Badan Peguam Negara untuk melakukan pemerhatian dalam kes itu.

Amarjeet memberitahu peguam Badan Peguam Negara, Abhilaash Subramaniam, ‘bukan hari ini’, dan mengarahkannya untuk ‘kembali’ jika kebenaran untuk permohonan Najib dibenarkan.

Najib, 70, mengemukakan permohonan semakan kehakiman pada 1 April, bagi mencabar kewujudan titah adendum (tambahan) oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Dalam permohonan itu, beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Beliau memohon perintah supaya kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun pada 2 Februari, Lembaga Pengampunan mengumumkan pengurangan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun manakala denda sebanyak RM210 juta diturunkan kepada RM50 juta.

Bagaimanapun, kegagalan membayar denda itu akan menyebabkan hukuman penjara tambahan setahun ke atas Najib. – 4 April, 2024

Topics

 

Hangat

Related